Thursday, May 2, 2019

Keldai dadah bawa 4kg ketamin bernilai RM240,000 ditahan

fazleen safina 

Dua suspek lelaki warga tempatan direman tujuh hari bantu siasatan


KUALA LUMPUR– Dua lelaki warga tempatan disyaki keldai dadah ditahan di sebuah hotel di Jalan Kuchai Lama di sini, dalam serbuan pada kira-kira pukul 8.30 pagi Sabtu lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik ACP Adnan Azizon berkata, hasil pemeriksaan, polis menemui empat kilogram dadah disyaki ketamin bernilai RM240,000 pada papan pelapik yang direka khas dalam sebuah beg, di hotel berkenaan.

“Siasatan mendapati kedua-dua suspek aktif menjadi keldai dadah kira-kira tiga bulan lepas dengan mengedar dadah jenis ketamin ke luar negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Polis turut merampas wang tunai RM858 dan sebuah kereta jenis Honda City dipercayai milik suspek, dan kedua-dua mereka yang masing-masing berumur 24 dan 33 tahun kini ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika disabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman mati. -Bernama


No comments: