Saturday, May 4, 2019

11 MEI SAKSI KEBANGKITAN SEMULA UMNO

Wartawan Watan-Online



Hari ulang tahun UMNO pada 11 Mei ini bakal menjadi saksi kepada kebangkitan semula parti terbesar kaum Melayu itu selepas kekalahan dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14).

Ketua Bahagian UMNO Ledang, Datuk Ir. Dr. Hamim Samuri berkata UMNO tiada pilihan lain selain terus bangkit dari trauma demi perjuangan agama, bangsa dan tanah air serta membela nasib rakyat.

“UMNO sebenarnya tiada pilihan kerana perjuangan ‘A Ba Ta’ tidak boleh luntur terutama tiga perkara pokok ini gagal diperjuangankan oleh gabungan parti dalam Pakatan Harapan (PH).

“Ini jelas dapat kita lihat, menjelang setahun pemerintahan PH, terlalu banyak perkara yang menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat. Kita juga dapat lihat Islam dihina, Melayu dibuli tetapi pembelaan tegas tiada.

“Sekarang ini, status agama pula hendak dilucutkan dari kad pengenalan. Adakah ini yang rakyat harapkan dari kepimpinan PH? Sejak mula mengambil alih tampuk pimpinan negara sehinggalah ke hari ini, tidak ada satupun perkara yang mereka lakukan demi rakyat,” katanya kepada media di Ledang pada Selasa.

Dalam perkembangan sama, Hamim turut menyeru ahli UMNO supaya mengekalkan momentum dengan terus bersatu dan berdiri teguh di belakang pemimpin parti demi memastikan UMNO kembali memenangi hati rakyat.

“Kita jadikan 11 Mei sebagai titik permulaan untuk kita terus pandang ke hadapan dan jangan lagi berduka. Setahun sudah berlalu, kini masa kita bangkit, abaikan mereka yang lari meninggalkan perjuangan.

“Saya yakin, UMNO dan BN akan terus utuh dan kembali menjadi kerajaan,” katanya.


No comments: