GEORGE TOWN: Seorang
ibu bersama dua anaknya menempuh dugaan setelah mengalami kerosakan
motosikal ketika menunggang di Jambatan Pulau Pinang, di sini semalam.
Lebih memeritkan, kejadian itu berlaku
dalam cuaca panas yang sangat terik dan kenderaan begitu banyak
berikutan cuti perayaan Tahun Baharu Cina.
Namun, kesulitan mereka terurai dengan
bantuan oleh beberapa anggota Jabatan Amal Malaysia Negeri Pulau Pinang
yang kebetulan menghala di laluan sama.
Menyedari masalah sedang dihadapi tiga beranak itu, anggota Amal yang
baru pulang dari program Amal Masuk Kampung di Bayan Lepas segera
memberi pertolongan.
Walaupun masih keletihan mencurah
keringat pada program sebelumnya, mereka tetap menyantuni dengan
menumpangkan kereta kepada keluarga tersebut.
Manakala motosikal yang rosak telah
ditunda sementara menanti kehadiran suami mangsa terus ke bengkel
membaik pulih motosikal di Seberang Jaya.
Takdir-Nya, kehadiran anggota Amal itu
bukan sahaja tepat masanya, tetapi membuktikan kemurnian khidmat bakti
tanpa sempadan dan kejituan motto "Beramal Kepada Allah" yang
diikrarkan. -HARAKAHDAILY
No comments:
Post a Comment