PETALING JAYA: Pelakon Sofi Jikan mengaku tidak bersalah di Mahkamah
Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan dadah jenis
11-nor-delta-9-tetrahydro cannabinol-9-carboxylic acid atau THC minggu
lalu.
Sofi atau nama sebenarnya Mohamad Shoffi Jikan, 48, membuat pengakuan
itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret
Nurulhuda Zakariya.
"Saya mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan,"kata pelakon KL Gangster itu, selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan.
Pelakon itu didakwa menggunakan dadah jenis THC di Pejabat Narkotik Ibu
Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada 11.15 malam, 6 Februari lalu.
Dia yang berpakaian sut biru gelap dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a)
Akta Dadah Berbahaya, membawa hukuman penjara maksimum 2 tahun atau
denda RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Natasha Chin Le Jy menawarkan jaminan
RM4,000 dengan seorang penjamin namun pelakon itu yang diwakili peguam
Datuk Haniff Hassan memohon jaminan rendah antara RM2,000 hingga RM3,000
atas alasan tertuduh penanggung utama keluarga.
“Anak guam saya juga memberikan kerjasama baik dengan pihak polis
sepanjang siasatan dijalankan. Dia juga dikenali masyarakat, oleh sebab
itu, tiada kecenderungan untuknya melarikan diri,” katanya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Mac untuk sebutan semula kes.
Jumaat lalu, Sofi Jikan dibebaskan dengan jaminan polis selepas direman tiga hari bagi membantu siasatan berhubung kes dadah.
Sebelum ini, pelakon itu ditahan di Balai Polis Mutiara Damansara
Selasa lalu ketika hadir untuk beri keterangan berhubung laporan polis
oleh pelakon Datuk Farid Kamil Zahari, 37, pada 31 Januari lalu.
No comments:
Post a Comment