Thursday, February 1, 2018

Rundingan kerusi PH Selangor diteruskan jawatankuasa pilihan raya - Xavier

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Agihan kerusi di Selangor akan terus dirunding menerusi Jawatankuasa Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Selangor sehingga pengerusinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengarahkan jawatankuasa khas ditubuh untuk tujuan itu.
 
Demikian penegasan Pengarah Pilihan Raya PH Selangor, Dr Xavier Jayakumar selepas ditanya perkembangan terbaru penubuhan jawatankuasa khas di Selangor yang diumumkan Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad, semalam.
 
Xavier yang juga Naib Presiden PKR berkata, pihaknya akan menghantar surat kepada PPBM, Amanah dan DAP untuk menyertai rundingan menerusi jawatankuasa pilihan raya itu, memandangkan masa semakin suntuk. 
 
"Kalau Azmin bagi arahan untuk tubuh satu jawatankuasa, kita ikutlah dan kita akan buat. Kalau tiada (arahan), saya ingat jawatankuasa yang ada sekarang, saya kira kita tukar nama sahaja kepada jawatankuasa khas, dan orang yang sama juga hadiri mesyuarat ini, bukan orang lain.
 
"Sebab orang yang akan hadir kena ada kuasa untuk buat satu pendirian bila kita bincang tentang kerusi," katanya kepada Antarapos. 
 
Semalam Dr Mahathir dalam sidang media PH semalam menjelaskan, jawatankuasa khas itu perlu ditubuhkan selepas berlaku kekeliruan berhubung peranan jawatankuasa pilihan raya PH Selangor yang dipengerusikan Xavier. 
 
Menurut Dr Mahathir, PH Selangor masih gagal memuktamadkan soal agihan kerusi ekoran 'salah faham berhubung  jawatankuasa yang betul' untuk mengadakan rundingan.  
 
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Xavier yang juga ADUN Sri Andalas berkata, kegagalan memuktamadkan rundingan berkenaan turut berpunca daripada sikap segelitir parti dalam PH yang berebut kerusi.
 
"Semua parti nak kerusi, semua parti politik begitu, itu saya setuju. Tapi di negeri Selangor, berilah Keadilan (PKR) jadi parti utama dalam Selangor untuk pimpin negeri.
 
"Selangor ini diperintah dan dipimpin Keadilan (PKR). Jadi kita-lah nak dapatkan majoriti kerusi dalam negeri ini. Serupa dengan Johor di mana Bersatu (PPBM) dapat kerusi (DUN) lebih walaupun ia baru dalam koalisi, tapi kita hormati," katanya. 
 
Malah Xavier menambah, PKR perlu terus diberi kepercayaan untuk memimpin Selangor memandangkan rekod pentadbiran parti itu di negeri berkenaan sejak dua penggal lalu menunjukkan prestasi cemerlang.   
 
"Sebab apa Selangor saja kita kena adakan satu pertikaian bahawa siapa yang akan ketuai? Saya ingat Selangor telah buktikan bahawa pemimpin Keadilan (PKR) telah bawa perubahan banyak. 
 
"Dan sekarang jika dibanding dengan kajian yang dibuat, penerimaan kita sebagai parti unggul di Selangor telah naik tinggi, kita-lah nak dapatkan majoriti kerusi walaupun kita akan sama-sama kerja dengan parti lain PH. Mereka pun akan diberi kerusi.   
 
"Apa yang Pengerusi PH (Dr Mahathir) kata? Kemenangan adalah prioriti nombor satu. Apa yang dikata, itulah yang saya ikut selalu. Kita kita menang dulu, lepas itu kita boleh perubahan di Selangor," tegasnya lagi.
 
 

No comments: