Thursday, February 22, 2018

Rahman Dahlan saman Rafizi

MALAYSIA GAZETTE

Para pengunjung menonton tayangan interaktif di Ekspo Negaraku di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI
 

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan memfailkan saman terhadap Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Rafizi Ramli atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah berhubung penganjuran Ekspo Negaraku 2017.
 Abdul Rahman, selaku plaintif, memfailkan saman fitnah itu menerusi Tetuan Raja Riza & Associates di Mahkamah Tinggi pada 30 Jan lalu dengan menamakan Mohd Rafizi sebagai defendan tunggal dalam saman berkenaan.

Peguam Abdul Halim Abdul Karim, yang mewakili Mohd Rafizi, berkata Hakim Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab menetapkan 29 Mac ini untuk pengurusan kes ketika sebutan kes di dalam kamarnya hari ini dengan dihadiri peguam Datuk M. Reza Hassan mewakili Abdul Rahman.

Dalam pernyataan tuntutan, Abdul Rahman mendakwa pada 10 Nov 2017, Mohd Rafizi melalui status di laman Facebook miliknya memaklumkan akan mengadakan sidang media bagi mendedahkan penyelewengan membabitkan seorang menteri.

Abdul Rahman, yang juga Anggota Parlimen Kota Belud, Sabah, mendakwa Mohd Rafizi telah mengadakan sidang media bertajuk ‘Skandal Baru UMNO Menteri Mana Pula Yang Kena’ di pejabatnya di Sungai Besi, di sini pada 11 Dis 2017, dengan dihadiri wartawan dari pelbagai media.

Plaintif mendakwa sidang media itu disiarkan secara langsung melalui laman Facebook milik defendan iaitu Rafizi Ramli @ rafiziramli.keadilan dan defendan secara semborono dan dengan berniat jahat menerbitkan kenyataan fitnah itu yang merujuk kepadanya.

Abdul Rahman turut mendakwa kenyataan fitnah itu membawa maksud bahawa beliau tidak jujur dan korup selain menuduhnya terbabit dengan transaksi yang mengelirukan.

Akibat kenyataan fitnah itu, plaintif mendakwa reputasi dan maruahnya terjejas terutama daripada pandangan pengundi dan pemilih di kawasan Kota Belud selain mendakwa beliau dipandang rendah oleh masyarakat kerana bersifat mementingkan diri sendiri dan keluarga.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, teruk, teladan selain perintah injunksi supaya defendan melalui dirinya atau wakil dihalang daripada menerbitkan, mengeluarkan dan mencetak perkataan sama yang memfitnah plaintif.

Turut dipohon perintah supaya defendan mengeluarkan dan menerbitkan permohonan maaf terhadapnya dalam akhbar utama bahasa Melayu dan Inggeris berdasarkan terma yang dipersetujui oleh plaintif.— BERNAMA

No comments: