Di dalam Sidang Media Majlis Presiden Pakatan Harapan semalam, 20 Februari 2018, Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad, menyebut bahawa “sebelum kita menyiapkan manifesto ramai jugak daripada pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan yang telah buat kenyataan tertentu”, bahawa “kita tidak terikat dengan kenyataan yang dibuat oleh pemimpin tertentu jika kita dapati kenyataannya itu tidak dapat dilaksanakan oleh kita apabila kita menerajui kerajaan”, bahawa “kita harap kita akan dapat melaksanakan (60 janji-janji yang sudah dibuat) walaupun mungkin tidak seperti yang diharapkan oleh rakyat” dan bahawa “kita berpendapat bahawa dana kerajaan mungkin tidak boleh menampung janji-janji yang keterlaluan sebab itu kita akan membuat janji cuma setakat yang kita mampu sahaja”.
Bagi mereka yang sentiasa mengamati dari dekat perkembangan politik semasa tanah air seperti saya, tidak sukar untuk menelah siapakah pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan yang telah membuat janji-janji yang keterlaluan ini dan apakah janji-janji keterlaluan yang telah pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan ini buat yang tidak dipersetujui oleh Tun Dr Mahathir.
Salah satu nama pemimpin tertinggi Pakatan Harapan yang biasa membuat janji-janji yang keterlaluan ini adalah Setiausaha Agung DAP merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, khususnya yang membabitkan janji untuk menghapuskan tol di Lebuhraya Utara-Selatan dan di Jambatan Pertama Pulau Pinang jika Pakatan Harapan berkuasa.
Nampaknya janji untuk menghapuskan tol ini sangat penting kepada Lim Guan Eng kerana ia telah berulangkali diumumkan oleh beliau kepada rakyat seperti yang di antara lainnya pernah dilaporkan oleh portal berita Malay Mail Online pada 20 Oktober 2015 dan oleh akhbar rasmi DAP, Roket Kini, pada 16 Januari 2017.
Janji untuk menghapuskan tol yang dibuat oleh Lim Guan Eng ini juga dilihat didokong penuh oleh pemimpin DAP yang lain seperti yang terbukti melalui kenyataan Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar, di dalam akhbar rasmi AMANAH, AMANAH Daily, pada 25 Januari 2017, dan kenyataan Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming, di dalam akhbar rasmi DAP, Roket Kini, pada 28 November 2017.
Malangnya, Tun Dr Mahathir, selaku Bapa Tol Malaysia, di dalam dalam satu sesi bual bicara mengenai dasar Pakatan Harapan pada 10 Januari 2018 telah mempertahankan pengenaan tol di Lebuhraya Utara-Selatan dan di Jambatan Pertama Pulau Pinang ini dengan berkata:
“Masih ramai orang yang tidak puas hati dengan tol yang dikenakan tetapi kalau tol tak dikenakan langsung sukar bagi kita untuk menyelenggara Lebuhraya Utara Selatan ini dan tol sebenarnya di Malaysia kalau dibanding dengan negara lain memang pun lebih jauh lebih murah. Di negara Jepun saya dapati bahawa satu jambatan yang dibina, untuk menggunakan jambatan itu satu hala bayarannya adalah sebanyak RM270, sehala, pergi balik lebih daripada RM500.
Tetapi kita tahu bahawa Jambatan Pulau Pinang toll rate-nya ialah RM7 sejak ia dibina pada tahun 80-an, tak naik sekali pun, dan yang baru ini pun jugak RM7. Jadi saya berpendapat bahawa walaupun ada yang mengeluh kerana agak terlalu tinggi toll rate ini tapi sebenarnya ini two way, pergi balik, kita bayar cuma RM7, sedangkan jambatan yang lebih kurang sama di negara Jepun toll rate-nya ialah lebih daripada RM500. Fikir-fikirlah sama ada kita terlalu tamak mengenakan toll rate yang terlalu tinggi.”
Bagi saya, kenyataan Tun Dr Mahathir di dalam Sidang Media Majlis Presiden Pakatan Harapan semalam, selain merupakan satu tamparan terbuka kepada pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan yang telah membuat janji-janji yang keterlaluan ini, khususnya kepada Lim Guan Eng dan pemimpin DAP, sebenarnya mencerminkan satu masalah besar yang dijangka akan berlaku jika Pakatan Harapan berkuasa, iaitu pertembungan di antara Mahathirisme dan aspirasi pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan yang lain.
Tun Dr Mahathir mungkin sahaja boleh berpura-pura untuk merombak kembali segala legasi beliau dengan kononnya berjanji untuk “melakukan reformasi institusi serta mewujudkan sebuah kerajaan yang mengamalkan urustadbir yang baik” seperti yang diumumkan oleh Presiden AMANAH, Mohamad Sabu, pada 18 Februari 2018, tetapi yakinkah kita bahawa, seperti yang ditanyakan oleh Tengku Razaleigh Hamzah pada 27 Januari 2018, “do you think leopard will change its spots?”
Pengenaan tol adalah salah satu legasi Tun Dr Mahathir dan salah satu komponen Mahathirisme, dan jika di dalam isu seperti pengenaan tol ini pun Tun Dr Mahathir masih bertegas mempertahankan legasi beliau, apa jaminan beliau tidak akan mempertahankan komponen-komponen lebih penting Mahathirisme jika Pakatan Harapan berkuasa?
Seronok juga untuk dilihat reaksi pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan yang kononnya berjiwa populis yang telah membuat janji-janji yang keterlaluan ini ke atas pengakuan terbuka Tun Dr Mahathir bahawa Manifesto Pakatan Harapan “mungkin tidak seperti yang diharapkan oleh rakyat”.
Kita sama-sama tunggu dan lihat sama ada Lim Guan Eng dan pemimpin DAP mempunyai maruah untuk mempertahankan cadangan janji untuk menghapuskan tol di Lebuhraya Utara-Selatan dan di Jambatan Pertama Pulau Pinang yang dibuat oleh Lim Guan Eng ini.
Dr Kamarul Zaman Yusoff,
Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN),
Universiti Utara Malaysia (UUM).
No comments:
Post a Comment