Thursday, February 1, 2018

Memang ada cadangan pemimpin luar bertanding di Kelantan - Che Abdullah

ANTARAPOS

Post Pic
 
KOTA BHARU: Ada nama pemimpin luar dalam senarai calon yang akan mewakili PAS Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), akui Setiausaha PAS negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.
 
Pun begitu, cadangan nama pemimpin luar itu hanya melibatkan kerusi Parlimen sahaja dan tidak melibatkan DUN.
 
"Ada beberapa (nama yang akan dicalonkan) untuk kerusi Parlimen," katanya pada sidang media di Kota Bharu, semalam.
 
Terdahulu, senarai nama yang dikatakan calon-calon PAS Kelantan termasuk di kawasan Parlimen, tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.
 
Antaranya Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang dikatakan bakal bertanding di Parlimen Kubang Kerian.
 
Selain itu, Ketua Penerangan PAS, Nasruddin Hassan dikatakan akan bertanding di Parlimen Bachok, manakala Setiausaha Majlis Syura Ulama, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh bakal ditempatkan di Parlimen Pasir Puteh.
 
Bagaimanapun Che Abdullah menegaskan, senarai yang tular itu hanya tekaan rambang pihak-pihak tertentu bagi menghangatkan suasana menjelang pilihan raya.
 
ADUN Wakaf Bharu itu berkata, perkara itu belum muktamad dan senarai calon PAS Kelantan masih di peringkat saringan.
 
"Setakat ini kita menerima cadangan senarai calon daripada setiap peringkat seperti kawasan dan cawangan melalui kajian awal yang kita buat sebelum ini.
 
"Setiap kerusi DUN dan parlimen setakat kita senaraikan lima calon," katanya.
 
Bagi Penularan senarai yang memaparkan nama-nama calon PAS bagi kerusi DUN dan Parlimen di Kelantan, dilakukan oleh pihak yang 'tidak ada kerja'.
 
Semalam Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah bertegas tindakan menyebarkan senarai nama kononnya calon-calon yang akan mewakili PAS pada pilihan raya nanti dibuat oleh 'orang yang tidak ada kerja'.
 
Malah Amar berkata parti itu sendiri belum menetapkan calon yang muktamad bagi tujuan pilihan raya.
 
 

No comments: