Friday, February 2, 2018

Mahfuz dedah pendirian politik dalam masa 45 hari lagi

Muhammad Azizul Osman
Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar bercakap kepada media selepas sesi perbentangan Bajet 2018 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM,
 

KUALA LUMPUR – Bekas pemimpin Pas, Datuk Mahfuz Omar hari ini berkata, beliau akan mengumumkan pendirian sebenar politik beliau dalam masa 45 hari lagi.

Dalam satu kenyataan, bekas Naib Presiden Pas itu berkata, tujuan beliau berbuat demikan setelah sering diajukan soalan mengenai pendirian sebenar beliau selepas meninggalkan Pas, penghujung Disember tahun lalu.

“Ingin saya nyatakan bahawa pendirian saya cukup jelas bersama Pakatan Harapan (PH) yang mana saya adalah pendiri PH di awal pembentukannya melalui sidang meja bulat yang saya terlibat secara langsung dalam memberikan sokongan saya sejak saya masih lagi menjadi Ahli Pas.

“Oleh demikian,hingga kini saban hari saya tidak kekok memenuhi jemputan program yang dianjurkan atas nama PH atau parti komponen PH untuk menggerakkan kesedaran rakyat agar menolak UMNO-BN dan memastikan peralihan kuasa berlaku kepada PH pada PRU14 kelak,” katanya.

Malah katanya, pengumuman itu akan dibuat selepas selesai mengadakan perbincangan bersama rakan parti lamanya.

“Semua pihak perlu memahami bahawa saya hanya meninggalkan parti Pas tetapi selamanya saya tidak akan meninggalkan rakan-rakan saya yang masih ahli Pas untuk di libat bersama dan memainkan peranan dari dalam Pas menggerakkan usaha ahli dan pengundi Pas bagi membina semula Malaysia bersama PH,” katanya.

Pada 31 Disember tahun lalu Mahfuz membuat pengumuman keluar daripada Pas selepas 34 tahun menjadi ahli.

Bagaimanapun beliau tidak pula mengumumkan menyertai mana-mana parti politik sedangkan ramai yang menganggap beliau akan menyertai Parti Amanah Negara (PAN) kerana semakin mesra parti itu.

Malah Mahfuz turut diberi gelaran ‘harum manis’ yang menggambarkan kemesraan beliau terhadap PAN. -MalaysiaGazette.


No comments: