Friday, February 2, 2018

Iskandar: 'Difahamkan' hanya ADUN PAS Selangor belum dapat guna peruntukan

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Hanya ADUN-ADUN PAS difahamkan belum diberi kelulusan untuk menggunakan peruntukan tahunan RM800,000 yang diluluskan oleh kerajaan negeri Selangor, kata Exco Kerajaan Negeri Datuk Iskandar Abdul Samad. 
 
Justeru, pimpinan PAS Selangor berhasrat mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu daripada Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, kata beliau. 
 
“Saya difahamkan (ia melibatkan) ADUN PAS sahaja,” ujar beliau, merujuk kepada kekangan untuk memperolehi peruntukan berkenaan.
 
Iskandar yang juga ADUN Cempaka berkata, ‘pembekuan’ berkenaan adalah satu realiti yang dihadapi oleh semua ADUN PAS di Selangor. 
 
“Memang kami diberitahu oleh pejabat daerah bahawa ianya (peruntukan) tak dapat dikeluarkan,” kata beliau kepada Antarapos.
 
“Sekarang ini apa yang berlaku adalah (bagi) ADUN-ADUN PAS, kita terpaksa guna peruntukan sendiri, bermakna duit sendiri lah yang kita guna (untuk laksana program). 
 
“Program kita masih berjalan, (tapi) kita guna duit peribadi,” tambah beliau. 
 
Beliau difahamkan Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi akan berusaha mengatur perjumpaan dengan Azmin untuk mendapat penjelasan mengenai isu itu secepat mungkin. 
 
Menurut Iskandar, pihaknya dimaklumkan bahawa peruntukan untuk ADUN sememangnya sudah sampai ke pejabat daerah, namun ia tidak dapat dikeluarkan oleh wakil rakyat PAS.
 
“Pada Isnin lalu, ada satu mesyuarat ..kalau tak silap saya, ada pegawai daerah telah memanggil pegawai-pegawai pusat khidmat mengatakan (peruntukan) masih lagi belum boleh dibawa keluar. 
 
“Saya harap ia dapat diselesaikan sebab kita akan teruskan dengan program-program kita,” katanya.
 
Iskandar menegaskan perjumpaan antara Azmin dan PAS Selangor harus diadakan secara rasmi kerana ia mempunyai impak besar ke atas kebajikan rakyat. 
 
“Saya merasakan kita boleh berjumpa secara peribadi dengan menteri besar tapi saya mahu supaya ia diadakan perjumpaan secara rasmi dan direkodkan. 
 
“Kita minta penjelasan tapi…kerana ini libatkan perkara besar, kita tak boleh bincang tepi jalan saja. Jadi perlu ada satu mesyuarat yang khusus antara pesuruhjaya (PAS) dengan pihak Datuk Seri Azmin.
 
“Saya harap supaya dapat diselesaikan sebab implikasinya meluas kerana ia melibatkan rakyat. Duit itu adalah untuk diberi kepada rakyat, kalau ianya disekat, yang rugi bukan ADUN tetapi rakyat,” kata beliau. 
 
“Walaubagaimanapun dari segi gerak kerja, ADUN-ADUN PAS, kita tak berhentikan gerak kerja malah kita punyai tanggungjawab kepada rakyat, jadi kita perlu meneruskan tanggungjawab tersebut sama ada ada peruntukan atau tidak,” katanya lagi.
 
Azmin sebelum ini berkata peruntukan itu mungkin belum dapat disalurkan kepada ADUN-ADUN berkenaan kerana masalah teknikal. 
 
Beliau menyatakan kesediaan untuk berjumpan dengan pimpinan PAS Selangor untuk memerinci isu berkenaan. 
 
Pimpinan PAS sebelum ini menegaskan parti itu masih sebahagian daripada kerajaan negeri Selangor, justeru berhak mendapatkan peruntukan wakil rakyat sebagaimana yang diperolehi oleh ADUN PKR dan DAP. 
 
Bagaimanapun, Naib Presiden PKR Dr Xavier Jeyakumar mendakawa PAS tidak boleh menuntut peruntukan berkenaan jika nekad mahu menentang PKR dan parti komponen Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). 
 
PAS menamatkan kerjasama dengan PKR dan DAP diperingkat nasional namun kerajaan negeri Selangor yang dibentuk mereka di bawah payung PH di kekalkan sehingga PRU 14 diadakan. 


No comments: