Thursday, February 1, 2018

Ikrar Bebas Rasuah hampir serupa baiah

DETIK DAILY

 
 
KOTA BHARU: Usaha PAS memperkenalkan lafaz baiah kepada bakal calon yang bertanding kini turut dijejaki Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) apabila menganjur Ikrar Bebas Rasuah (IBR) kepada calon pilihan raya.
 
Naib Presiden PAS, Dato' Mohd Amar Abdullah berkata, langkah PAS memperkenalkan baiah bertujuan mengawal calon menggunakan kedudukan untuk tujuan yang salah.
 
Bagaimanapun katanya, pada masa itu semua pihak mengkritik langkah tersebut.
 
“Sekarang SPRM pula bersedia untuk mewujudkan perkara serupa sempena PRU 14. Kami buat baiah semua orang bising, sekarang SPRM pula yang nak buat,” katanya di sini.
 
Beliau berkata demikian sebagai mengulas usaha SPRM memperkenalkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) khas untuk calon pilihan raya jika ada permintaan daripada mana-mana parti politik.
 
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad dilapor berkata, tidak kira parti politik mana sekali pun bebas untuk memohon IBR.
 
Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, sekiranya peraturan itu menjadi arahan SPR, PAS akan akur walaupun setiap kali pilihan raya lafaz baiah dilakukan calon.
 
“Buat masa ni kami tak boleh nak ulas apa-apa, kita tengok dulu macam mana, nak komen sekarang benda belum nampak lagi.  Entah jadi atau tidak kita tak tahu,” ujarnya. 
 
 

No comments: