PUTRAJAYA: Himpunan aman bagi mendesak tindakan lebih tegas Jabatan
Perdaftaran Pertubuhan (RoS) terhadap PPBM akan diadakan pada 22
Februari ini di hadapan ibu pejabat pertubuhan itu di sini.
Bekas Exco Pemuda PPBM, Muhammad Hafiz Azhar berkata, himpunan tersebut
akan tetap diteruskan berikutan masih belum ada sebarang tindakan
terhadap parti pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad yang secara
terang-terangan melanggar perlembagaan parti itu sendiri.
“Macam mana pun kami tetap bertegas dan saya menyeru semua yang telah
membuat laporan di seluruh negara dan yang menerima nasib yang sama
untuk kita sama-sama turun ke perhimpunan ini bagi menyatakan desakan
kita kepada RoS,” katanya di perkarangan hadapan Ibu Pejabat Polis
Daerah Putrajaya di sini hari ini.
Menurut Muhammad Hafiz, permohonan permit untuk mengadakan himpunan
aman berkenaan telah dikemukakan kepada pihak polis dan kini dalam
proses menunggu maklum balas permohonan berkenaan.
Sebelum ini sebilangan ahli parti itu menyuarakan rasa tidak puas hati
ekoran aduan yang dikemukakan mereka, khususnya bersabit isu pelanggaran
perlembagaan, masih belum ada sebarang tindakan daripada RoS.
Sehubungan itu pihak berkenaan mengancam akan mengadakan demontrasi di
hadapan pejabat RoS sekiranya pertubuhan itu enggan melakukan sesuatu
mengenai isu berkenaan dalam tempoh yang ditetapkan.
No comments:
Post a Comment