DETIK DAILY
Oleh Mohd. Shauki Abd. Majid
Hakikatnya kelucahan dalam media, sama ada Internet ataupun media
elektronik dan cetak sebenarnya bukanlah perkara baharu. Sebelum
kemunculan Internet, terdapat video dan filem-filem lucah diperdagang
sehingga menjadikan industri perfileman lucah amat menguntungkan.
Begitu juga dalam bentuk buku, sebelumnya popularnya Internet. Sewaktu
kebangkitan fahaman liberal dalam masyarakat sekitar 1970-an lahir
beberapa buah novel yang menggemparkan pembaca yang dilihat bukan sahaja
lucah, tetapi penuh jelek.
Keghairahan memaparkan tulisan lucah dan berbaur seks menjadi semakin
meluas apabila sesetengah masyarakat mula melihat unsur-unsur tersebut
merupakan asam garam kehidupan.
Hasil perubahan gaya pemikiran dan kejayaan media mempengaruhinya,
kelucahan sudah dianggap tidak lagi menjijikkan, kecuali pemaparan aksi
melibatkan tokoh, selebriti dan masyarakat setempat.
Kalau pemaparannya bukan rakyat tempatan, masyarakat memandangnya sebagai sesuatu yang tidak keterlaluan.
Di Barat, ramai juga menteri terpaksa meletakkan jawatan apabila
berhadapan dengan perilaku seks dengan wanita simpanan atau pelacur.
Selebriti mereka yang turut terlibat dengan seks pelbagai wanita
menghadapi tekanan sehingga menjadikan Tiger Wood kehilangan sumber
penajaan.
Hebatnya seks sehingga menyebabkan kerjaya seseorang musnah. Lebih hebat
lagi ialah hancurnya kehidupan berkeluarga dan ahli keluarga akan
menanggung malu berpanjangan, kerana masyarakat lebih mudah mengingati
perilaku negatif berbanding positif. Ini adalah sepadan dengan sebuah
peribahasa, “buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.”
ELAK DEDAH AIB
Perlakuan seks tetap akan dianggap jahat dan amat memalukan. Walaupun
hubungan seks itu dilakukan oleh pasangan yang sah, tetapi Islam amat
melarang penganutnya mendedahkan kepada orang lain.
Namun, oleh kerana niat tidak baik, apabila pergaduhan dalam keluarga
berlaku, ada pihak mula menggunakan rakaman seks atau gambar bogel untuk
mengugut.
Ada menggunakan rakaman melalui telefon bimbit untuk mengugut pasangan demi mendapat imbuhan wang ringgit.
Apa yang menyedihkan, sebahagian besarnya melibatkan orang Islam
sendiri. Kita mungkin akan mendasari tingkah laku sedemikian kerana
berleluasanya pergaulan bebas.
Ada juga data kajian membuktikan pengetahuan agama bukanlah sesuatu yang
signifikan, kerana remaja yang berpendidikan agama turut melakukan
perkara sama.
GUNA KAEDAH DRASTIK
Dalam hal ini, kita harus mengambil pendekatan lebih berani dan berkesan untuk mengatasinya.
Tidak boleh lagi menggunakan pendekatan lazim, kerana ia sudah tidak
diterima generasi muda yang semakin liberal dan bebas pemikirannya.
Apa yang kita boleh lakukan ialah mentakrifkan semula pendekatan bagi membudayakan konsep amar makruf nahi mungkar.
Usaha untuk mencegah merebaknya pengaruh pornografi daripada perspektif agama haruslah bermula daripada keluarga.
Bukan hal yang kebetulan jika dalam al-Quran ditemukan sekitar 70 ayat
berbicara mengenai pentingnya institusi keluarga. Keluarga harus menjadi
tonggak awal dalam membangun masyarakat dan selanjutnya bangsa yang
bermoral.
Nilai-nilai moral yang sangat ditekankan dalam setiap agama harus dimulai pelaksanaannya dalam kehidupan berkeluarga.
Keluarga adalah unit terkecil dalam masyarakat yang memiliki banyak
fungsi, antara yang sangat strategik adalah fungsi pendidikan dan agama.
Pendidikan agama harus dimulai daripada keluarga. Pendidikan agama di
luar keluarga hanya bersifat pelengkap kepada nilai-nilai yang sudah
ditanamkan dalam sesebuah keluarga.
Perlu ditegaskan bahawa pendidikan agama yang hendak ditanamkan kepada
anak-anak sejak awal adalah pendidikan agama yang mengajarkan
nilai-nilai kemanusiaan sehingga mereka terdorong menjadi manusia
bertanggungjawab dan berguna.
Bukankah ada hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Sebaik-baik manusia adalah yang paling berguna bagi sesamanya.”
Daripada hadis tersebut difahami bahawa sejahat-jahat manusia adalah yang mengeksploitasi sesamanya.
Apa dituntut bukanlah pendidikan agama yang hanya menekankan hal-hal
bersifat peraturan formal semata-mata, sebaliknya pendidikan agama
menekankan tiga aspek penting dalam diri manusia, iaitu pemikiran, jiwa
dan minda sehingga dapat membangunkan moral yang kukuh dalam diri
seseorang.
PENYEMPURNAAN AKHLAK
Tujuan akhir daripada semua ajaran Islam adalah menjadikan manusia itu
berakhlak mulia atau berbudi luhur sebagaimana dalam hadis Rasulullah
SAW yang bermaksud: “Aku diutus semata-mata untuk menyempurnakan akhlak
mulia.”
Impak kepada kehidupan beragama seseorang itu adalah menjadi manusia berakhlak mulia.
Antara penunjuk utamanya adalah menjauhi perbuatan, perkataan dan perilaku keji serta kotor termasuk bahan-bahan pornografi.
Antara ciri-ciri orang beriman adalah mampu mengawal syahwat seperti yang dinyatakan dalam Surah Al-Mukmin, ayat 5.
Justeru, pengurusan syahwat atau nafsu itu penting bahkan mungkin lebih penting daripada pengurusan hati.
Dalam rangka melaksanakan tugas sebagai khalifah itu, manusia harus
menjaga kesucian diri dan keturunan termasuk memelihara diri daripada
mendekati bahaya zina seperti pornografi.
Zina adalah perbuatan paling keji dan jalan yang sesat (al-Isra’, ayat
32). Zina memberikan kesan sangat buruk bukan hanya kepada si pelaku itu
sendiri tetapi juga kepada anak-anak yang lahir akibat perbuatan zina.
LAYAN SEBAGAI RAKAN
Dalam konteks zina, Islam menekankan unsur-unsur pencegahan. Firman
Allah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya
zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang amat
buruk.” (al-Isra’: 32)
Kita wajib mendisiplinkan anak-anak dengan pendekatan perhubungan. Anak
remaja perlu dilayan sebagai rakan dan bukannya dalam bentuk hubungan
horizontal.
Ketaatan anak akan menjadi lebih terarah apabila rasa hormat dan tautan kasih sayang dalam perhubungan disemai sepanjang masa.
Jangan hanya bermusim, ibu bapa perlu mengubah perspektif keibubapaan.
Pendapat anak-anak perlu diambil kira, kerana dari situlah anak-anak
merasakan dirinya dihargainya. Ibu bapa sebagai pembimbing dan bukan
lagi berperanan sebagai penjaga.
Peranan penjaga penuh dengan larangan, maka kerana terlalu banyak
larangan itulah anak-anak akan menjadi ‘malaikat apabila berada di
rumah’ tetapi bila berkesempatan berada di luar rumah, ‘berubah menjadi
syaitan yang menggerunkan’.
Ingatlah pesanan Nabi Muhamad SAW: “Sesiapa antara kamu yang melihat
sesuatu kemungkaran, maka hendaklah dia mengubah dengan tangannya, jika
dia tidak berdaya maka ubahlah dengan lisannya dan jika tidak mampu
(ubahlah), dengan hatinya. Dan itulah selemah-lemah iman,” - Riwayat
Muslim.
Kalau kita benar-benar ikhlas, kita mampu atasi masalah melanda masyarakat.
Barangkali, secara keseluruhannya kita tidak mampu menyekat kebebasan
Internet, namun mahu tidak mahu kita harus mampu membebaskan diri
daripada bahaya yang ‘ditawarkannya’.
No comments:
Post a Comment