Thursday, February 1, 2018

Amanah Selangor yakin Azmin utamakan kepentingan PH

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Amanah percaya Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan mengambil langkah yang sepatutnya dalam menyelesaikan isu agih kerusi di negeri itu.
 
Setiausaha Agungnya, Anuar Tahir yakin Azmin akan meletakkan kepentingan Pakatan Harapan (PH) sebagai keutamaan sekali gus akan menjayakan rundingan agih kerusi menerusi jawatankuasa khas yang diumumkan Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.
 
"Saya percaya. Saya menaruh kepercayaan penuh bahawa Pengerusi PH Selangor akan segera mengambil langkah yang sewajarnya. Sekiranya proses ini dilambat-lambatkan, yang ruginya adalah rakyat Selangor seluruhnya," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengarah Pilihan Raya PH Selangor, Dr Xavier Jayakumar bahawa pihaknya menunggu arahan daripada Azmin sama ada akur menubuhkan jawatankuasa khas berhubung isu agih kerusi atau tidak.
 
Rundingan agih kerusi di Selangor sebelum ini dibuat menerusi jawatankuasa pilihan raya, namun dibantah Amanah, PPBM dan DAP.
 
Polemik itu menyaksikan Dr Mahathir bertindak mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas dan bertegas jawatankuasa pilihan raya tidak boleh digunakan untuk tujuan itu.
 
Justeru, Anuar berkata beliau berharap Azmin akur dan menghormati keputusan Majlis Presiden PH itu.
 
"Sebagai Pengerusi yang telah kita putuskan bersama, kita hormat beliau sebagai pengerusi tentulah beliau akan mengambil langkah-langkah yang bijaksana. 
 
"Saya percaya Datuk Seri Azmin akan memikirkan soal masa depan PH negeri Selangor," katanya.
 
Dalam pada itu ujarnya, sepertimana rundingan yang berjalan di negeri-negeri lain, beliau turut meletakkan pengharapan kepada keempat-empat parti komponen PH di Selangor supaya mengambil keputusan disepakati sebaik mungkin.
 
"Hampir semua negeri-negeri di Malaysia sudah hampir semua mencapai kata sepakat. Kita harap Selangor juga akan ambil langkah-langkah yang baik dengan kebijaksanaan supaya jangan berlaku keadaan yang menganggu kedudukan PH Selangor. 
 
"Semua pihak perlu berfikir dan mengambil langkah-langkah yang bijaksana sepertimana berlaku di negeri lain," jelasnya yang menuntut isu peringkat negeri itu segera diselesaikan.
 
Isu rundingan kerusi DUN di Selangor belum selesai meskipun sudah melepasi tarikh yang ditetapkan. Perkembangan itu memaksa PH di peringkat Pusat masuk campur.
 
 

No comments: