BUKIT MERTAJAM: Lebih 20 ahli PAS Kubang Semang mengadakan demonstrasi
aman di Masjid Seberang Jaya di sini, hari ini, bagi mendesak kerajaan
menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung tragedi Memali.
Selain penubuhan RCI Memali, mereka turut meminta Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat secara terperinci kekayaan
luar biasa keluarga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun
Dr Mahathir Mohamad.
Jurucakapnya, Rashid Rashidi, berkata pihaknya mahu waris mangsa Memali
menerima pembelaan yang sewajarnya dalam tragedi yang mengorbankan 14
individu 33 tahun dulu.
"Kami mahu siasatan terperinci dijalankan dalam insiden Memali dan
orang ramai, terutama waris mangsa mahu mengetahui apa sebenarnya yang
berlaku ketika itu.
"Apa yang lebih malang, ada segelintir bekas pemimpin PAS yang
dahulunya memperjuangkan isu Memali, namun kini mereka tergamak
menafikannya," katanya selepas mengadakan demonstrasi aman selepas solat
Jumaat di Masjid Seberang Jaya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Rashid berkata, pihaknya juga hairan apabila semua
ahli keluarga Dr Mahathir mampu menjadi jutawan dan mengumpul kekayaan
dalam tempoh yang singkat.
"Apa yang menghairankan, sebelum menjadi perdana menteri, Dr Mahathir hanya seorang doktor manakala bapanya seorang guru.
"Namun selepas menjadi perdana menteri ketika itu, keluarga termasuk
anak-anaknya semua bergelar jutawan," katanya dipetik BH Online.
Peristiwa Memali tercetus pada 19 November 1985 iaitu pada era
pemerintahan Dr Mahathir, ekoran tindakan pihak keselamatan mahu menahan
seorang guru agama, Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali sebagai Ibrahim
Libya atas dakwaan mengancam keselamatan negara.
Pertempuran antara pihak keselamatan dengan penduduk kampung akhirnya
mengorbankan 18 orang termasuk guru agama itu beserta empat anggota
polis, dengan berpuluh-puluh yang lain tercedera serta penahanan
beratus-ratus orang.
PAS sebelum ini menggesa kerajaan segera menubuhkan RCI bagi merungkai peristiwa itu supaya rakyat mengetahui kejadian sebenar.
No comments:
Post a Comment