Monday, October 2, 2017

Zakir Naik pengganas? Eloklah P. Ramasamy balik India

Mohd Haizal Yatiran



KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) hari ini membidas kenyataan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P. Ramasamy yang percaya hubungan negara India dan Malaysia tergugat sekiranya negara ini terus ‘melindungi’ pendakwah kontroversi, Dr. Zakir Naik.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengerusi Hal Ehwal Islam PERKASA, Dr. Amini Amir Abdullah berkata, kenyataan Ramasamy itu bersifat biadap.

Ia dilihat senada dengan kenyataan-kenyataan berbentuk serangan daripada aktivis peguam, Siti Kassim dan pertubuhan Hindraf, yang mahu Zakir ditangkap.

“PERKASA mengesyaki Ramasamy bersengkongkol dengan Hindraf untuk melakukan satu tindakan agresif bagi memburuk-burukkan imej Dr. Zakir dan menyingkirkan beliau dari Malaysia,” katanya.

Justeru, PERKASA menggesa kepada Ramasamy untuk membuat persiapan balik ke India sekiranya beliau masih percaya dengan segala bentuk serangan terhadap Zakir Naik, meskipun ianya hanya fitnah semata-mata bagi memburukkan imej pendakwah itu.

“Kenyataan beliau mempunyai sikap prejudis dan prasangka melampau terhadap Dr. Zakir kononnya beliau adalah penjenayah sedangkan kerajaaan India membuat tuduhan melulu terhadap Dr. Zakir dan berulang kali telah dinafikan oleh beliau sendiri.

“Eloklah jika Ramasamy bersiap untuk balik ke India jika beliau masih percaya dengan fitnah tersebut dan usah beliau tinggal di Malaysia kerana kerajaan Malaysia tidak pernah menuduh Zakir sebagai penjenayah.”

PERKASA turut menggesa Ramasamy supaya mendedahkan bukti aktiviti keganasan Zakir kerana wakil rakyat DAP itu mendakwa penglibatan pendakwah Islam itu dalam aktiviti keganasan.

“PERKASA percaya Dr. Zakir  dituduh sedemikian atas dasar iri hati dan cemburu terhadap dirinya yang berkaliber dan berjaya dalam menyebarkan dakwah islamiah dengan berkesan.

“Sebab itu PERKASA memberi amaran keras dan membantah sekeras-kerasnya sebarang usaha yang dilakukan oleh Ramasamy DAP, pihak India MIC, Tamilar Kural, Hindraf dan pihak yang bersengkongkol dengan mereka ini untuk mengganggu hak dan keistimewaan yang diperoleh oleh Dr. Zakir daripada kerajaan Malaysia,” ujarnya. – MalaysiaGazette


No comments: