Oleh Athirah Hanapiah
SHAH ALAM: PAS Kedah menyerahkan kepada rakyat untuk menilai sendiri
tindakan mana-mana pemimpin atau ahli parti itu yang dilihat lebih
cenderung untuk menyokong Pakatan Harapan (PH) sejak kebelakangan ini.
Pesuruhjayanya, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi berkata, tindakan Ahli
Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar yang cenderung menyokong gabungan
pembangkang itu sebenarnya telah menyerlahkan prinsip dan pendirian
sebenar bekas naib presiden PAS itu.
"PAS Kedah serah kepada rakyat untuk menilai.
"Saya rasa rakyat boleh lihat orang ada prinsip atau tidak,"katanya ketika dihubungi Antarapos.
Ahmad Fakhruddin berkata demikian mengulas tindakan Mahfuz dan tiga
lagi ADUN PAS iaitu Datuk Amiruddin Hamzah (Anak Bukit), Mohd Nasir
Mustafa (Kubang Rotan) serta ADUN Batu Burok, Dr Syed Azman yang hadir
ke Konvensyen Amanah di Alor Setar, Kedah semalam.
Keempat-empat mereka dilihat mesra Amanah, malah sering menghadiri program anjuran PH sejak akhir-akhir ini.
"Mereka pergi (ke konvensyen Amanah) atas kapasiti sendiri, bukan di
atas PAS Kedah, jadi ikut suka mereka," katanya mengulas tindakan empat
wakil rakyat PAS itu.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada PAS negeri akan mengambil
tindakan terhadap Mahfuz dan tiga yang lain, Ahmad Fakhruddin berkata
tiada aduan atau tindakan yang bakal dilakukan.
Beliau bagaimanapun tetap menegaskan tindak-tanduk keempat-empat wakil
rakyat itu sudah cukup untuk memberi gambaran untuk dinilai oleh ahli
PAS dan rakyat.
"Sebenarnya rakyat dan ahli-ahli PAS sedang perhati kelakuan mereka
ini, jadi di situ pun ahli-ahli PAS boleh melihat prinsip mereka sama
ada mereka ini masih lagi ada hati bersama PAS atau tidak, itu semua
ahli PAS boleh lihat," ujarnya.
Naib Presiden PAS, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dalam kenyataannya
malam tadi berkata PAS tidak akan mengenakan sebarang tindakan terhadap
Mahfuz kerana beranggapan beliau terlalu kecil di dalam parti.
Mohd Amar juga berkata Mahfuz tidak akan diketengahkan sebagai calon
PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), selain memberi peringatan
kepada pemimpin itu untuk keluar daripada parti berikutan tindak
tanduknya yang cenderung menyokong PH.
Mengulas lanjut, Ahmad Fakhruddin turut bersetuju agar Mahfuz tidak lagi diketengahkan sebagai calon PAS kelak.
Malah katanya, PAS mempunyai calon yang lebih baik dan berkaliber untuk diangkat bagi menggantikan Mahfuz.
"PAS banyak calon, calon-calon PAS semua berkaliber insya-Allah.
"Semua yang bagus-bagus PAS letakkan (calon), dia (Mahfuz) naik duhulu pun melalui PAS juga," katanya.
No comments:
Post a Comment