KOTA KINABALU: Tempoh reman terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN)
Lahad Datu, Datuk Mohd Yusof Apdal dilanjutkan lagi dua hari bagi
membantu siasatan berhubung penyelewengan dana berkaitan projek luar
bandar di Sabah.
Perintah itu dikeluarkan Majistret Kota Kinabalu, Cindy Mc Juce Balitus
setelah tempoh reman sejak 18 Oktober lepas berakhir hari ini.
Terdahulu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memohon tempoh
reman itu dilanjutkan selama tujuh hari, bagaimanapun mahkamah hanya
membenarkan ia hanya dua hari.
Mohd Yusof, 57, merupakan adik kepada Presiden Parti Warisan Sabah
(Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, adalah individu kesembilan
daripada 11 individu ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung
penyelewengan dana projek luar bandar berjumlah RM180 juta iaitu
sebahagian daripada RM1.5 bilion dana yang dianggarkan diseleweng
daripada sebuah kementerian.
Beliau disiasat mengikut Seksyen 17A Akta SPRM 2009.
Sementara itu Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Faliq Basiruddin
memaklumkankan Mohd Shafie buat masa ini tidak berada di dalam lokap
SPRM tetapi masih berada di Hospital Queen Elizabeth (HQE) 2 bagi
menjalani rawatan.
“(Buat) masa ini saya fikir (Mohd Shafie) masih di hospital untuk
rawatan. Jika beliau fit (sihat) untuk dimasukkan ke dalam lokap (SPRM),
kami akan masukkan. Apa-apa pun, kami menunggu laporan daripada pihak
hospital,” katanya.
Mohd Shafie pada Khamis malam lalu telah dimasukkan ke HQE 2 kerana
mengalami tekanan darah tinggi sebelum dibawa ke Mahkamah Majistret pada
Jumaat bagi mendapatkan perintah tahanan reman.
No comments:
Post a Comment