Monday, October 2, 2017

Shahrir mahu kekalkan kerusi Parlimen JB

ANTARAPOS

Post Pic


JOHOR BAHRU: Tan Sri Shahrir Abd Samad, malam tadi menegaskan masih berminat untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di kerusi bandar raya itu.

Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, berikutan ramai nama besar dalam pembangkang antaranya Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Lim Kit Siang dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau berminat untuk berdepan dengan mereka.

Katanya, pembangkang kali ini berasa yakin menembusi Johor berikutan ada nama besar yang baharu dalam pakatan mereka seperti Dr Mahathir dan Muhyiddin.

"Pada awal saya ramal PRU-14 adalah pilihan raya mudah, tetapi apabila dah dengar macam-macam (nama) semua hendak datang Johor termasuk Khalid Abd Samad (Ahli Parlimen Shah Alam), kalau semua berminat dengan Johor, saya pun berminat berdepan dengan mereka dalam apa pun kedudukan.

"Nampaknya kalau Mahathir dengan Muhyiddin, Anwar dan Kit Siang hendak jadikan Johor sebagai 'front line state' (negeri barisan hadapan) takkan saya nak undur ke belakang (tidak bertanding)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menjadi panel jemputan Program Dialog Perjuangan 4 All di Dewan Kompleks Yayasan Warisan Johor di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang turut menjadi panel pada program berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Annuar yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, Dialog Perjuangan 4 All anjuran Jabatan Penerangan UMNO Malaysia akan diteruskan sehingga ke 100 kawasan Parlimen ke seluruh negara.

"Sehingga kini sudah 15 kawasan kami jelajah, bagaimanapun ia adalah usaha berterusan dan yang penting sejak dilancarkan kita berjaya meningkatkan momentum jumlah penonton sehingga belasan ribu yang mengikuti (siaran langsung di Facebook) dan ini perkembangan menggembirakan

"Saya gembira lihat penyertaan penonton (di lokasi program dan media sosial) selain dapat membincangkan fokus tertentu di satu kawasan ke satu kawasan dan sebagai panel tetap, saya dapat berkongsi pengalaman di tempat lain," katanya.

No comments: