SHAH ALAM: PAS Kelantan mempertahankan tindakannya mendenda seorang
lelaki kerana berseluar pendek ketika bermain futsal, dengan berkata
undang-undang mengenai larangan itu sudah wujud sejak 1985.
Menurut Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) Che
Mohd Rahim Jusoh kemudiannya berkata perkata itu tidak perlu
diperbesarkan memandangkan ia berkaitan dengan cara menutup aurat.
Beliau merujuk Seksyen 5(1) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri
Kelantan 1985, umat Islam yang berpakaian tidak menutup aurat boleh
dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara enam bulan.
“Undang-undang itu sudah termaktub sejak 1985, yang bertujuan mendidik
umat Islam memakai pakaian sopan dan juga menanam kesedaran kepada
remaja berhubung dengan pakaian menutup aurat," katanya memetik laporan
Utusan Malaysia hari ini.
Undang-undang itu juga terpakai ketika Umno memerintah negeri itu, sebelum PAS mengambilalih pentabiran negeri pada 1990.
Merujuk enakmen itu, mana-mana individu yang memakai seluar pendek
paras atas lutut dan perempuan yang berseluar serta berbaju ketat,
berlengan pendek, tidak bertudung, adalah kesalahan dalam adab
berpakaian.
“Saya meminta semua pihak tidak menjadikan perkara ini sebagai isu
besar atau mencipta konflik antara orang Islam dengan bukan Islam di
negeri ini,” katanya.
Untuk rekod pada 25 September lalu, seorang lelaki Islam didenda
sebanyak RM1,000 oleh pihak berkuasa agama kerana memakai seluar pendek
untuk bermain futsal.
Lelaki itu diberi notis untuk menghadiri kaunseling, dan jika dia gagal
berbuat demikian, lelaki itu boleh dihadapkan ke mahkamah syariah,
selain didenda jika dapati bersalah.
Dalam pada itu Che Mohd Rahim menambah pemantauan akan dilakukan secara
kerap agar kesemua pihak dapat mengikuti undang-undang berkenaan.
“Peraturan tersebut bukan untuk menghukum, sebaliknya ingin memberi
kesedaran supaya mereka lebih bersopan dalam adab berpakaian.
“Setakat ini, dua orang telah dikenakan denda berhubung kesalahan tersebut,” katanya.
Sementara itu Che Mohd Rahim berkata tindakan sama boleh diambil
terhadap pemain bola sepak yang memakai seluar atas paras lutut.
Namun memaklumkan tiada sebarang tindakan diambil lagi terhadap mereka.
No comments:
Post a Comment