
28 September tentunya merupakan satu tarikh yang bersejarah bagi Ketua Biro Agama Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR, Wan Ji Wan Hussin, yang berasal dari Kelantan.
Hari itu, Wan Ji melafazkan sumpah terimaan jawatan sebagai Pegawai Penerangan (Agama) di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang di depan boss baru beliau, Lim Guan Eng.
Tugas beliau adalah untuk menerangkan usaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang memartabatkan Islam di negeri itu di samping menangkis dakyah ia anti-Islam dan anti-Melayu.
Bagaimanapun, hari sama juga, buku tulisan beliau yang diterbitkan Ilham Books bertajuk “Ulama Yang Bukan Pewaris Nabi” telah diwartakan sebagai hasil penerbitan tidak diingini.
Mengikut perintah ini, pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan buku ini adalah dilarang secara mutlak di seluruh Malaysia kerana kandungannya “mungkin memudaratkan ketenteraman awam” dan “mungkin menggemparkan fikiran orang ramai”.
Mengikut rekod, Ilham Books, sebuah syarikat penerbitan milik Ilham Centre yang diketuai oleh Hisomuddin Bakar, begitu aktif menerbitkan buku pemimpin AMANAH.
Selain itu, Ilham Books juga turut mengedarkan buku Mustafa Akyol yang telah diterbitkan oleh IRF bertajuk “Islam Tanpa Keekstreman: Berhujah Untuk Kebebasan”.
Terang Ilham Books mengenai buku Mustafa Akyol ini:
“Buku Akyol ini adalah satu refleksi yang sangat penting, disusun dengan hujah dan analisis yang berlandaskan Al Qur’an, Hadith, dan pengalaman peribadi beliau sendiri dalam memerhati perkembangan politik Turki. Suara penulisan beliau adalah suara yang segar dan progresif, serta mengangkat visi liberal dan progresif yang sangat diperlukan dalam dunia Islam hari ini.”
Peliknya, kenapa portal-portal berita seperti cuba menyembunyikan perintah larangan terhadap buku Wan Ji ini dan hanya menyebut mengenai perintah larangan terhadap buku-buku Datuk Dr Ahmad Farouk Musa dan Mohd Faizal Musa (Faisal Tehrani), selain buku Mustafa Akyol, sahaja?
Seperti disebutkan sebelum ini, bahawa DAP, PKR dan AMANAH mendokong agenda liberal sudah jelas terbukti dalam kes Mustafa Akyol ini.
Buku Mustafa Akyol dilancarkan oleh Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, pada 23 Januari 2016.
Begitu juga bila Mustafa Akyol ditahan untuk dirakam keterangan pada 25 September lalu, antara yang paling lantang membela beliau adalah Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong, Ketua Setiausaha Pakatan Harapan dari PKR, Datuk Saifuddin Abdullah, dan Setiausaha Agung AMANAH, Anuar Tahir.
Kata Liew Chin Tong, beliau sangat ambil berat dengan penahanan Mustafa Akyol oleh “illiberal (Malaysian) government” dan risau dengan keselamatan Mustafa Akyol.
Kata Datuk Saifuddin, Mustafa Akyol tak pernah beri pandangan yang bertentangan dengan Islam. Kata Anuar Tahir, Mustafa Akyol adalah tokoh yang beliau sayang.
Sepatutnya tiada apa-apa lagi yang perlu disembunyikan.
*Dr Kamarul Zaman Yusoff, Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN),
Universiti Utara Malaysia (UUM).
No comments:
Post a Comment