Tuesday, October 3, 2017

Hentikan budaya denda zalim dalam tentera

ISMA WEB

Jenazah salah seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang meninggal dunia akibat didera secara fizikal oleh tiga suspek. Gambar – Berita Harian

Belum pun reda insiden kematian pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) akibat didera pelajar senior, tiba-tiba kita dikejutkan dengan kematian dua anggota tentera laut, akibat denda atau hukuman yang tidak setimpal dengan kesalahan atau masalah disiplin yang telah dilakukan. Kita tidak pernah belajar dengan apa yang berlaku, sedangkan dalam Islam, Allah mahu kita mengambil pengajaran dalam setiap peristiwa yang berlaku.

Selama ini, apa yang berlaku dalam kem tentera atau apa jua hukuman yang dilakukan tidak diketahui khalayak kerana kem adalah tempat yang sangat ekslusif, tidak diketahui orang ramai. Banyak pekung yang tersimpan. Luaran memang nampak cantik. Mereka bernasib baik kerana tidak melibatkan kematian. Tetapi, pada kali ini, Allah mahu menunjukkan betapa budaya sebegini perlu dibendung supaya banyak lagi nyawa yang tidak berdosa tidak menjadi korban.

Isu ini bukan lagi isu Prosedure Operasi Standard (SOP). SOP sebegini boleh dikatakan langsung tidak terpakai, kerana banyak hukuman yang berjalan dilakukan oleh pegawai bertugas mengikut kehendak hati mereka. Bertindak sewenang-wenangnya.Inilah budaya tentera yang diwarisi sejak zaman British yang dibanggakan selama ini. Misalnya, jika ada anggota rendah tidak tabik kepada pegawai atasan, itu dianggap sebagai dosa besar dan mesti dihukum.

Pernah berlaku insiden, pegawai tinggi tentera tidak ditabik serta meluruskan badan oleh anggota tentera berpangkat rendah, heboh satu kem. Hukuman dikenakan, hanya kerana tidak ditabik dan meluruskan badan. Apakah ini SOP atau budaya tentera yang masih relevan untuk dipraktikkan? Apakah tabik itu, suatu yang mesti? Sepatutnya pegawai tinggi angkatan tentera perlu memikirkan apakah mereka akan mendapat ‘tabik’ Allah di akhirat nanti, berbanding tabik manusia, yang tidak ada apa-apa ini? Mungkin kepada mereka, tabik ini isu besar, seolah-olah mereka tidak hormati, tetapi wajarkah dengan isu tabik ini, sehingga menyebabkan kehilangan nyawa. Ini hanya suatu contoh.

Meskipun ini bukan contoh yang menyebabkan kematian, tetapi budaya sebeginilah yang dianggap baik dan amat dibanggakan oleh tentera. Sudah sampai masanya, budaya yang kita warisan daripada barat (British) ini dikaji semula. Biarlah manusia tidak tabik kepada kita, asalkan kita dapat tabik Allah di akhirat nanti.

Selama ini denda atau hukuman yang dikenakan kepada pesalah atau mereka yang melanggar disiplin amat berat. Antara hukuman mereka yang dikenakan adalah lari keliling padang memikul kayu panjang yang berat, berjemur di tengah panas, pumping di tengah jalan bertar dengan menggenggam tangan (penumpuk) sehingga berdarah dan sebagainya. Pelajar UPNM juga tidak terlepas hukuman ini.

Pegawai tentera akan menghukum mengikut apa yang difikirkan sesuai untuk dihukum mengikut apa yang dilalui selama ini. Mereka mungkin tidak sedar bahawa hukuman tersebut boleh menyebabkan kehilangan nyawa. Mereka ingat nyawa manusia begitu murah harga. Dalam kes ini, pernahkah mereka terfikir akan jika berlaku kematian, berapa banyak air mata yang akan gugur. Ibu bapa kehilangan anak, anak-anak kehilangan bapa, isteri kehilangan suami dan banyak lagi kehilangan yang akan berlaku.

Saya masih teringat, ketika orang awam memasuki kem tentera, melintasi padang kawad tanpa disengajakan atau diketahui, orang awam tersebut ditengking seperti mana mereka menengking tentera berpangkat rendah. Adakah ini budaya tentera?

Untuk makluman, kepada pegawai tentera, memijak padang kawad atau melintasinya adalah seperti memijak al-Quran. Padang kawad dianggap sesuatu yang suci. Memijak atau melintasnya dianggap sebagai suatu ‘dosa besar’. Semua ini budaya barat. Wajarkah hanya kerana melintasi padang kawad hukuman dikenakan memikul kayu panjang dan berat berlari keliling padang.

Pelik sungguh, sesuatu yang langsung tidak menjadi isu, dijadikan isu. Justeru, sudah sampai masanya, semua perkara berkaitan dengan budaya tentera ini dikajikan semula mengikut SOP yang sebenar-benar SOP. Pegawai tentera tidak boleh bertindak atau menghukum sewenang-wenang mengikut budi bicara dan nafsu mereka. Mereka bukanlah orang terpilih yang berbeza dengan orang awam.

Isteri dan ahli keluarga mereka adalah orang awam. Jangan ‘tenterakan’ mereka. Bayangkan orang awam ini kehilangan nyawa, apakah ketika itu tentera tidak ada perasaan. Inilah yang dirasai oleh orang awam hari ini. Kita adalah manusia, tidak ada bezanya di sisi Allah melain iman dan taqwa. Apa jua pangkat, gelaran, pangkat yang berderet tersemat dibaju tentera, tidak ada ertinya sekiranya kita hina di sisi Allah atau tidak mendapat ‘tabik’ Allah.


No comments: