Tuesday, October 3, 2017

Graduan perubatan boleh sertai program ‘tagging’ tahun depan

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: Graduan perubatan yang sedang menunggu pengesahan untuk mengikuti latihan perubatan di hospital, boleh menyertai dahulu program ‘tagging’ yang akan diperkenalkan bermula pada tahun hadapan.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata program baharu itu berkonsepkan pemerhatian iaitu graduan berpeluang mengikuti doktor bertugas dan memerhatikan cara doktor itu mengendalikan pesakit.

“Ini bertujuan memberikan pengalaman mengenai tatacara perubatan sebelum mereka (graduan) menjalani latihan perubatan di samping tidak membuang masa sementara menunggu bagi latihan tersebut,

“Saban tahun, terdapat sekitar 5,000 graduan perubatan baharu yang memerlukan mereka menjalani latihan perubatan dan langkah ini dilihat akan memberi manfaat kepada graduan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kerjaya dan Latihan Penjagaan Kesihatan Bersepadu (IHICD) 2017 anjuran Pusat Pembangunan Karier Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Dewan Kolej Tun Syed Nasir, di sini, hari ini.

Dr Hilmi berkata pada masa ini kementeriannya sedang menyediakan garis panduan program ‘tagging’ itu bagi membolehkan ia dilaksanakan segera.

Bagaimanapun graduan terbabit tidak diwajibkan untuk menyertai program baharu itu dan malahan mereka yang menyertainya juga tidak diberi sebarang insentif, katanya.

“Mereka yang berminat akan ditempatkan di klinik kesihatan atau hospital yang bukan merupakan hospital latihan,” katanya.

Mac lalu, Dr Hilmi berkata terdapat 44 hospital latihan di seluruh negara , terdiri hospital kerajaan dan hospital universiti termasuk hospital tentera dan kementerian akan menambahkan bilangan itu dari semasa ke semasa.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat UKM Prof Datuk Dr Imran Ho Abdullah berkata program kerjaya sehari yang diadakan itu bertujuan membantu mahasiswa tahun akhir dan graduan daripada kluster kesihatan mengenai maklumat kerjaya meliputi bidang kesihatan.

“Ia juga menjadi platform untuk mereka berinteraksi secara langsung dengan pihak industri dan menerokai peluang pekerjaan bukan klinikal yang lebih luas di pasaran pekerjaan,” katanya.–Bernama

No comments: