LUMUT: Dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang meninggal dunia di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi dekat Sitiawan di sini, disahkan berada dalam keadaan sihat sebelum dimasukkan ke pusat tahanan itu.
Panglima Tentera Laut Tan Sri Kamarulzaman Badaruddin berkata, TLDM
sememangnya mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang setiap anggota
yang dimasukkan ke pusat tahanan perlu menjalani ujian kesihatan
terlebih dahulu.
“Kami mengesahkan bahawa dua anggota terbabit sihat sebelum dimasukkan
ke pusat tahanan, namun kami tidak mahu mengulas lanjut mengenainya
kerana ia masih dalam siasatan,” katanya kepada pemberita selepas
menyampaikan Pingat Jasa Malaysia kepada 51 Veteran Pasukan Khas Laut
(Paskal) sempena sambutan Ulang Tahun Paskal ke-35 di Markas Paskal TLDM
di sini hari ini.
Beliau berkata Lembaga Siasatan TLDM yang bersidang semalam tidak akan
campur tangan siasatan yang sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia
(PDRM) sebaliknya membincangkan serta meneliti semula SOP.
“Lembaga ini akan meneliti sama ada SOP masih relevan dan komprehensif
diguna pakai selain menyiasat sama ada anggota yang bertugas ketika
kejadian mematuhi SOP atau sebaliknya,” katanya.
Katanya, lembaga itu yang terdiri daripada lima anggota, diketuai
kapten dan kesemua mereka mempunyai kepakaran dalam bidang keselamatan
serta kesihatan pekerjaan.
Kamarulzaman berkata, pihaknya memandang serius dan tidak akan
berkompromi atau melindungi anggota yang melakukan jenayah selain
memberi kerjasama sepenuhnya kepada PDRM bagi membantu proses siasatan.
“Keadilan perlu ditegakkan dan saya akan pastikan anggota yang bersalah
dikenakan tindakan undang-undang kerana ia menjejaskan imej, kebajikan
dan integriti perkhidmatan,” katanya sambil menambah pusat tahanan itu
tidak akan ditutup.
Tambah Kamarulzaman, pihaknya turut melahirkan rasa simpati terhadap
keluarga mangsa dan TDLM akan membantu anggota keluarga daripada aspek
kebajikan.
Laskar Kelas (LK) 1 Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, dan LK 1 TLS Muhammad
Lailatuliman Mohd Sukri, 26, meninggal dunia di bilik tahanan berkenaan
dipercayai didera berdasarkan laporan bedah siasat daripada Jabatan
Patologi Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.
Bedah siasat yang dilakukan ke atas Nik Muhammad Baihaqy mendapati
kematiannya disebabkan pendarahan paru-paru akibat trauma tumpul
manakala Muhammad Lailatuliman meninggal dunia akibat pendarahan
paru-paru serta trauma tumpul pada tisu lembut.
Susulan itu, tiga anggota TLDM direman selama 7 hari mulai hari ini bagi membantu siasatan.
No comments:
Post a Comment