KUALA LUMPUR – Sudah tiba masanya pucuk pimpinan
Barisan Nasional (BN) mendengar serta menerima pandangan pimpinan di
peringkat akar umbi jika mahu merampas kerusi yang tewas dalam dua
pilihan raya umum sejak 2008.
Demikian kata Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md
Yunos sambil menyifatkan tindakan meminggirkan suara akar umbi itu
sebagai satu pengkhianatan.
“Selain kami mendengar amanat Perdana Menteri, pucuk pimpinan juga
perlu mendengar suara akar umbi, pendapat dan pandangan dari peringkat
bawah perlu diambil kira.
“Saya yakin dan percaya jika konsep ini dilakukan, diambil kira
dalam PRU14, BN akan mendapat dua pertiga dalam pilihan raya akan
datang,” katanya ketika ditemui pemberita pada Taklimat Pemukiman BN
PRU14 di Dewan Tun Razak, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini,
hari ini.
Beliau juga menyambut baik amanat Pengerusi BN, Datuk Seri Najib
Tun Razak yang mahu semua parti komponen mengutamakan semangat BN
berbanding agenda peribadi dan berebut jawatan dalam parti.
“Kalau konsep ini dapat kita terjemahkan dalam PRU14 akan datang,
tiada sebab BN akan kehilangan kerusi yang ada pada hari ini, malah
boleh ditambah.
“Mesej cukup jelas yang disampaikan kepada semua yang hadir ini
supaya pemimpin-pemimpin di peringkat bahagian dapat menghayati,”
katanya.
Beliau juga mengingatkan pucuk pimpinan BN agar tidak
mengkhianati perjuangan di peringkat bahagian dengan memilih calon yang
salah.
“Kita tidak mahu ada dalam kalangan pemimpin-pemimpin di peringkat atas mengkhianati perjuangan kami di bawah ini.
“Ketika PRU13 lepas, BN kalah dan hilang banyak kerusi di Selangor
kerana pucuk pimpinan parti tidak mendengar suara pimpinan di peringkat
bahagian,” tegasnya.
Katanya lagi, apabila ia tidak diterjemahkan kepada
pucuk pimpinan di peringkat bahagian menyebabkan jentera yang kuat gagal
memenangkan calon.
“Mereka hanya pandai bercakap, dan menyebabkan jentera yang cukup kuat dalam kalangan parti di bawah ini hancur lebur.
“Orang yang layak menjadi calon tetapi tidak dapat menjadi calon
dan akhirnya jentera di bahagian lumpuh,” katanya. – MalaysiaGazette
No comments:
Post a Comment