Sunday, October 22, 2017

Ada apa pada sesi terakhir parlimen sebelum PRU14?




Anggota parlimen sekali lagi akan bersidang di Dewan Rakyat esok dan ia mungkin menjadi persidangan terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Sesi kali ini merupakan mesyuarat ketiga penggal kelima parlimen ke-13, yang bermaksud dewan tidak akan lagi bersidang sehingga PRU14 melainkan dalam keadaan luar biasa yang memerlukan sidang khas parlimen.

Sesi parlimen kali ini berlangsung dari 23 Oktober hingga 30 November dan akan menyaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membentangkan belanjawan terakhir sebelum Dewan dibubarkan - atau sebaliknya terbubar dengan sendiri pada Jun tahun depan.

Malaysiakini meneliti beberapa agenda dalam sidang terakhir kali ini:

Bajet 2018

Bajet 2018 akan dibentangkan pada 27 Oktober dan dijangka menjadi bajet yang dipenuhi gula-gula pilihan raya.

Kumpulan sasaran utama adalah mereka yang merupakan penyokong tegar kerajaan seperti pengundi Malaysia Timur, penjawat awam, peneroka Felda dan penduduk kawasan pedalaman.

 
Najib juga menyatakan bahawa beliau bercadang meraih semula majoriti dua pertiga parlimen dalam PRU14, yang mana memerlukan beliau memperoleh sokongan lebih kuat daripada golongan kelas menengah.

 Isu seperti kos sara hidup dan rumah mampu milik dijangka mencuri perhatian dalam bajet kali ini.

Najib selama dua tahun berturut-turut membentangkan belanjawan berhemah. Pada 2015, bajet kerajaan dianggarkan sebanyak RM273.9 bilion, menyusut kepada RM267.2 bilion dalam Bajet 2016 dan menyusut sekali lagi dalam Bajet 2017 kepada RM262.8 bilion.

Pindaan akta 355

Usul Rang Undang-Undang Persendirian yang dibawa oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sekali lagi berada dalam senarai teratas urusan bukan kerajaan dalam aturan mesyuarat.

Usul berkenaan adalah bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, yang juga dikenali sebagai Akta 355.

Pindaan yang dicadangkan ini bertujuan meningkatkan had hukuman oleh mahkamah syariah dari tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam sebatan rotan sehingga 10 tahun penjara, denda RM100,000 dan 100 sebatan rotan.

 
Abdul Hadi yang juga anggota parlimen Marang dalam mesyuarat pertama penggal kelima pada April lalu, membentangkan usul itu dan disokong oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan yang merupakan anggota parlimen Kota Bharu.

 Bagaimanapun Ketua Dewan PAS Ulama Mahfodz Mohamed baru-baru ini mencadangkan agar usul itu ditangguhkan sehingga selesai pilihan raya umum.

Mahfodz berkata, usul berkenaan tidak mendapat sokongan mencukupi di parlimen pada masa ini dan adalah lebih baik dibawa selepas pilihan raya umum sekiranya PAS boleh menang lebih banyak kerusi.

Bagaimanapun, Takiyuddin membayangkan hasrat PAS untuk meneruskan usul berkenaan.

Sekiranya diteruskan, usul itu dijangka akan memasuki peringkat perbahasan, yang akan memerlukan pelbagai pihak secara rasmi menyatakan pendirian mereka.

Bagaimanapun, ia masih bergantung kepada sama ada BN akan membenarkan usul ini diteruskan kerana urusan kerajaan biasanya diutamakan berbanding urusan bukan kerajaan dalam aturan mesyuarat.

Sistem Insurans Pekerjaan (SIP)

Rang Undang-Undang Sistem Insurans Pekerjaan 2017 dibentangkan semasa mesyuarat kedua penggal kelima pada bulan Ogos lalu.

RUU itu jika diluluskan, akan mewajibkan pekerja menyumbang 0.5 peratus daripada gaji mereka selain majikan dikehendaki menyumbang 0.5 peratus kepada tabung berkenaan.

 
Dana itu bertujuan membantu golongan pekerja yang diberhentikan dengan mereka akan menerima manfaat beberapa bulan daripada dana yang ditubuhkan.

 Bagaimanapun, undang-undang yang dicadangkan itu menyaksikan bantahan keras daripada majikan sehingga mendorong kerajaan menangguhkan rang undang-undang itu ke sidang kali ini.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot menyatakan bahawa terdapat persetujuan untuk mengurangkan kadar caruman kepada 0.2 peratus bagi pihak pekerja dan majikan. Keputusan itu mungkin akan diterjemah dalam RUU terkini.

RUU lain

Hanya satu rang undang-undang baru yang akan diperkenalkan dalam persidangan kali ini iaitu Rang Undang-undang Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Pindaan) 2017.

RUU lain yang berada dalam senarai merupakan kesinambungan daripada sesi sebelumnya.

Ini termasuk Rang Undang-undang Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Pindaan) 2017, Rang Undang-Undang Perbadanan Harta Intelek Malaysia (Pindaan) 2017 dan Akta Setem (Pindaan) 2017.

Bagaimanapun, kerajaan boleh pada bila-bila masa semasa persidangan untuk mengemukakan RUU baru.

No comments: