PORT DICKSON: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan
seorang individu berhubung isu jual beli tanah di Kampung Serampang
Indah, Jempol yang dahulunya dikenali sebagai Ladang Gatco.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata individu
berusia 69 tahun itu ditahan setelah dia hadir ke Pejabat SPRM Putrajaya
petang Isnin untuk direkodkan kenyataannya.
"Hari ini kita telah mengambil keterangan daripada seorang saksi
penting yang menguruskan pemindahan hak milik tanah dan kita telah
menahannya.
"Lelaki ini adalah seorang ‘liquidator' (penyelesai). Siasatan masih berjalan," katanya kepada pemberita.
Beliau menghadiri majlis perasmian program Kembara Jelajah Anti Rasuah
2017 (Kejar'17) sempena sambutan Hari Ulang Tahun SPRM ke-50 Peringkat
Negeri Sembilan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Pada 29 Ogos lepas empat pegawai SPRM mengunjungi pejabat Unit Kerajaan
Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini bagi
mendapatkan maklumat berhubung isu tersebut.
Isu pertikaian Ladang Gatco itu bermula apabila peneroka tidak berpuas hati dengan penjualan ladang berkenaan.
Sementara itu Dzulkifli berkata negeri lain perlu mengikut jejak
langkah Kerajaan Negeri Sembilan dalam memastikan bukan hanya kepimpinan
negeri tetapi seluruh jabatan dan agensi negeri serta rakyat harus
tampil bagi menyatakan sokongan kepada Gerakan Revolusi Anti Rasuah
(Gerah).
"Apa yang kita hendak lahirkan ialah masyarakat Malaysia yang berani
menyatakan tidak kepada rasuah. Kalau tidak ada orang yang hendak beri
rasuah, maka tidak ada lagi yang penerimanya. Ini yang kita hendak
buat," katanya.
Sahabat Gerah dilancarkan pada 1 Ogos lepas untuk memberi peluang
kepada masyarakat untuk sama-sama terlibat dengan SPRM dalam usaha
pencegahan rasuah dan memeranginya secara habis-habisan.
Sehingga kini, seramai 60,000 rakyat Malaysia telah menjadi ahli Sahabat Gerah sejak ia dilancarkan, kata beliau.
"Kita jangka menjelang berakhirnya program Kejar'17 pada 30 Sept ini,
sasaran kita ialah 100,000 rakyat Malaysia menjadi ahli Sahabat Gerah,"
katanya.
Dzulkifli berkata Sahabat Gerah berperanan sebagai mata dan telinga
kepada SPRM untuk melaporkan sebarang perlakuan rasuah kepada SPRM,
menyumbang tenaga dalam usaha pencegahan rasuah dan menjadi model
peranan individu berintegriti kepada masyarakat.
Beliau berkata, Program Kejar'17 sedang berlangsung selama 12 hari
bermula hari ini disertai 40 motosikal dan sebuah bas yang membawa
pegawai kanan SPRM.
Katanya melalui program ini, pegawai SPRM akan pergi dari negeri ke
negeri untuk mendekati masyarakat dan memberi pendedahan mengenai jenis
rasuah serta salah guna kuasa yang sering berlaku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan