Selasa, 19 September 2017

Muhyiddin melalut, tak jawab isu - Anina

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Bekas pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Anina Saadudin menyelar Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin ekoran masih gagal menjawab isu kepimpinan yang melanda parti itu seperti didakwa sebelum ini.
 
Anina dalam kenyataannya hari ini turut mempersoalkan tindakan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti bunga itu yang 'menyisihkan' beliau tanpa sebarang sebab.
 
Beliau merujuk kepada cara 'kejam' pemecatan beliau daripada jawatan ketua srikandi dan kemudian digugurkan sebagai ahli MPT dengan 'menendangnya' daripada kumpulan WhatsApp MPT PPBM. 
 
"Pertamanya TSMY menyentuh tentang kononnya saya tidak datang untuk berbincang dengan beliau tentang isu kepimpinan yang saya bangkitkan. 
 
"Seperkara lagi, saya ingin menyarankan supaya TSMY menjawab isu dengan isu yang tepat. Jika TSMY persoalkan tentang locus standi, saya jawab tentang locus standi. Jika TSMY cakap tentang kepimpinan, saya jawab tentang isu kepimpinan. Jadi, saya harap TSMY akan menjawab isu dengan betul.
 
"Kenapa begitu buruk sekali tadbir urus parti ini. Lebih 40 tahun dalam kabinet dan berpengalaman terkeluar dalam barisan kabinet kerajaan, takkan TSMY tak tahu bagaimana untuk pecat pemimpin parti. Datuk Seri Najib pecat TSMY pun dipanggil berdepan untuk berbincang, ada pemakluman dan ada hitam putihnya. 
 
Jika pecat pemimpin parti seperti lanun yang humban kelasinya ke dalam laut, bagaimana rakyat nak yakin TSMY boleh memimpin negara," katanya kepada Antarapos melalui sistem aplikasi WhatsApp.
 
Dalam pada itu, Anina turut menyatakan rasa kecewa dan hairan dengan keengganan Muhyiddin untuk menjawab persoalan 'lokus standi' walaupun atas kapasitinya sebagai salah seorang pengasas PPBM.
 
"Saya telah mempersoalkan tentang locus standi yang dimaksudkan oleh TSMY kerana saya adalah pengasas bersama PPBM. Saya bimbang beliau masih bermimpi bahawa dia adalah TPM. Jika parti ini benar-benar mahu berjuang untuk rakyat maka jangan letakkan jurang antara pemimpin dan rakyat. Jika benar mahu berjuang demi kebenaran maka beranilah berkata benar dihadapan rakyat. Kenapa mengelak utk berdepan dgn saya.
 
"TSMY gagal membuktikan yang beliau berani berhadapan dengan saya dan tidak menjawab isu lokus standi yang saya persoalkan. Sebaliknya hari ini beliau melalut dengan kenyataan yang tidak pun meletakkan dirinya pada standard seorang bekas Timbalan Perdana Menteri," tambahnya.
 
Pertelagahan antara bekas ketua srikandi tersebut dan Muhyiddin diperlihat umum selepas tindakan Anina keluar parti pada Sabtu lalu.
 
Beliau mengumumkan keluar daripada PPBM, parti yang diasaskannya bersama beberapa bekas pemimpin Umno yang diterajui  Tun Dr Mahathir Mohamad.
 
Keputusan nekad tersebut dibuat selepas sudah tidak lagi tahan dengan layanan buruk yang diterima ketika berada di dalam parti tersebut. 
 
Anina antara lain turut mengkritik kepimpinan parti yang tidak memberikan hak kepada ahli untuk bersuara dan mendakwa parti itu kini telah tersasar dari perjuangan asal ditubuhkan sejak setahun lalu.
 
Pada hari yang sama, turut mengikut jejak langkah Anina adalah Datuk Hamidah Osman yang pernah menjawat jawatan Naib Presiden PPBM.  
 
Alasan yang sama turut disuarakan pemimpin dan ratusan ahli parti itu yang kemudiannya bertindak keluar parti sebelum ini, termasuk salah seorang pengasas PPBM, Kamarulazman Habibur Rahman pada April lepas.
 
 

Tiada ulasan: