SINGAPURA: Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong menzahirkan
keyakinannya bahawa Halimah Yacob akan menjalankan tanggungjawabnya
sebagai presiden kelapan republik itu dengan cemerlang.
Menerusi catatan dalam Facebook beliau, Lee berkata pengalaman luas
Halimah dalam arena politik akan memberi manfaat kepada rakyat republik
berkenaan.
“Presiden adalah mercu sistem politik kita dan lambang negara kita yang
berbilang kaum, pelbagai agama,” katanya dalam catatan terbaru dalam
Facebook beliau.
“Halimah pernah berkhidmat sebagai anggota kesatuan, pemimpin masyarakat, Anggota Parlimen, Menteri Negara dan Speaker.
“Pengalamannya yang luas semasa bekerja dengan rakyat Singapura
daripada semua lapisan masyarakat, memperjuangkan nasib pekerja dan
kumpulan kurang bernasib baik, akan dimanfaatkan semasa memegang jawatan
presiden,” kata Lee.
Halimah dijadual mengangkat sumpah esok di Istana iaitu kediaman dan pejabat rasmi Presiden Singapura.
Lee berkata beliau sudah menghubungi Halimah untuk mengucapkan tahniah kepadanya menjadi presiden kelapan Singapura.
Perdana Menteri turut berterima kasih kepada Mohamed Salleh Marican dan
Farid Khan Kaim Khan kerana menawarkan diri sebagai calon.
Mohamed Salleh adalah Ketua Pegawai Eksekutif Second Chance Properties,
manakala Farid Khan merupakan pengerusi Bourbon Offshore Asia.
Bagaimanapun permohonan kedua-duanya ditolak oleh Jawatankuasa Pilihan Raya Presiden (PEC).
“Keputusan yang dibuat bukan mudah bagi mereka dan keluarga
memandangkan mereka akan menjadi perhatian media dan orang ramai. Mereka
menghormati Perlembagaan, menjaga tatasusila dan kesopanan.
“Mereka tidak mengelirukan rakyat dengan janji yang melangkaui bidang
kuasa seorang presiden, yang mana pernah berlaku sebelum ini. Saya juga
berterima kasih kepada mereka kerana menerima keputusan Jawatankuasa
Pilihan Raya Presiden. Inilah cara untuk menjadikan proses demokratik
berjalan lancar dan demi kepentingan rakyat Singapura,” katanya.
“Halimah akan mengangkat sumpah esok. Saya berharap kita semua akan
menyokong beliau sebagai presiden kita seterusnya. Saya ingin bekerja
dengan beliau untuk berkhidmat kepada rakyat Singapura dan negara,” kata
Lee.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan