PULAU PINANG: Tindakan kerajaan negeri meluluskan kerja merobohkan
sebuah bangunan Kategori II di tapak warisan Peel Avenue pada Jun tahun
ini untuk projek pembesaran sebuah hospital dipersoal Gerakan Pulau
Pinang.
Pemangku Ketua Pemuda Gerakan Pulau Pinang, Jason Loo berkata kelulusan
untuk projek pembesaran Island Hospital sehingga kini belum diperolehi.
Tindakan itu mengundang tanda tanya apakah kerajaan pimpinan DAP itu mahu menaikkan projek komersial di tanah yang sama.
"Adakah terdapat sebarang Penilaian Kesan Warisan yang dibuat sebelum
kerajaan negeri DAP memberi kelulusan untuk meroboh bangunan warisan di
tanah berkenaan.
"Jika projek pembesaran hospital tidak diluluskan, bagaimanakah mereka akan memulihkan semula projek yang bakal dirobohkan itu.
"Sekiranya projek pembesaran hospital tidak diluluskan, adakah tapak
warisan yang dirobohkan itu akan dimajukan dan dibangunkan dengan satu
lagi projek komersial,” katanya kepada pemberita di George Town hari
ini.
Jason dalam pada itu memberitahu terdapat empat bangunan warisan di
tanah berkenaan yang dikategorikan sebagai bangunan warisan Kategori II
dalam senarai bangunan warisan negeri yang menghendaki setiap usaha
dibuat untuk memuliharanya.
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pada Jun lalu mengumumkan
bahawa kerajaan negeri telah menjual tanah seluas 2.6 hektar bernilai
RM156 juta di Peel Avenue kepada Island Hospital Sdn Bhd bagi pembinaan
projek "bandar perubatan".
Ujarnya tanah yang dimiliki Perbadanan Ketua Menteri (CMI) diberi hak
milik kepada hospital itu secara pajakan selama 99 tahun, dengan bayaran
pendahuluan RM30 juta, manakala baki pembayaran akan diselesaikan dalam
tempoh tiga bulan, selepas memperoleh lesen daripada Kementerian
Kesihatan.
Hairan dengan tindakan berkenaan, Jason turut menambah tidak ada
rundingan awam diadakan bagi tujuan mendapat pandangan penduduk setempat
sebelum kerajaan negeri mengambil keputusan berkenaan.
Apa yang lebih dikesali adalah penduduk di sekitar tanah itu juga tidak
dimaklumkan berkenaan penjualan tanah itu kepada Island Hospital pada
Disember 2016.
"Setelah mengetahui tanah itu telah dijual oleh CMI, saya
tertanya-tanya berapa banyak lagi tanah yang dipindahkan kepada CMI.
Saya bimbang jika kesemua tanah kerajaan di bawah CMI akan habis dijual
dengan pantas dan mudah," katanya.
Sehubungan itu Jason mendesak Guan Eng segera menjawab segala persoalan
yang dikemukakan itu sebagai satu langkah membuktikan ketelusan dalam
pentadbiran mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan