Liya S.
Majlis Belia Malaysia (MBM) menyokong sepenuh kenyataan Timbalan
Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengarahkan polis
mengharamkan penganjuran pesta tarian gay yang dirancang pada 30
September nanti.
Presidennya, Muaamar Ghadafi Jamal Jamaludin berkata, pendirian DBKL
itu tepat pada masanya memandangkan pesta berkenaan sama sekali
bertentangan dengan nilai-nilai murni negara dan melanggar syariat Islam
yang menjadi agama rasmi Malaysia.
Katanya, penganjuran pesta tarian itu memberi banyak kesan negatif
kepada masyarakat umum negara ini dan ia tidak mencerminkan Malaysia
sebagai sebuah negara Islam.
“MBM menyokong penuh keputusan kerajaan melalui arahan TPM untuk
mengharamkan pesta itu dan memastikan ia tidak langsung boleh dianjurkan
di negara ini.
“Kita tegas menentang sebarang aktiviti membabitkan golongan tidak
bermoral itu kerana ia bakal merosakkan akhlak masyarakat terutamanya
golongan belia,” katanya kepada Sinar Harian.
Jelas Muaamar Ghadafi lagi, MBM juga menganggap penganjuran pesta
tarian gay berkenaan amat bertentangan dengan semua ajaran agama, apatah
lagi Islam mengharamkan sebarang bentuk hubungan yang menyalahi tabie.
Ujarnya, Penganjuran pesta haram berkenaan bukan lagi isu kecil yang
harus dipandang remeh oleh semua lapisan masyarakat negara ini, malah ia
adalah satu bentuk bencana sosial serta moral yang mesti dibendung
sehingga ke akar umbi.
“Pengaruh LGBT perlu dibanteras daripada menular dalam kalangan
masyarakat pelbagai kaum di negara ini terutamanya golongan muda kerana
ia adalah amalan sosial yang tidak munasabah.
“Kita (MBM) sering memantau setiap program yang dianjurkan pelbagai
pihak samaada ia memberikan kebaikan atau keburukan kepada golongan
belia di negara ini,” katanya.
Beliau juga memuji tindakan segera Jabatan Imigresen Malaysia yang
sedia memantau dan menghalang kemasukan warga asing yang berkunjung ke
negara ini untuk menyertai pesta tarian gay berkenaan.-SINAR
Tiada ulasan:
Catat Ulasan