shahbudindotcom
Najib
Razak dilaporkan masih bingung untuk menentukan tarikh pilihanraya umum
akan datang berikutan beberapa "projek" yang dijangka memberi kelebihan
kepadanya tidak mencapai sasaran yang diharap-harapkan.
Setelah
dibelenggu dengan skandal 1MDB yang semakin menjerut leher politiknya,
pergantungan Najib kepada China adalah pilihan yang diharapkan bukan
saja membantunya menyelesaikan hutang-hutang syarikat pelaburan itu,
tetapi juga bertujuan mendekatkan lagi pengundi Cina kepada BN setelah
dalam pilihanraya sebelumnya peratusan menolak kerajaan begitu tinggi
sehingga Najib sendirinya melahirkan rasa kecewanya kepada mereka.
Andaiannya
apabila Najib memberi banyak projek kepada syarikat dari China,
pengundi Cina yang dianggap "sepupu" kepada China tentulah secara
automatik akan beralih mendekati BN dan kerajaan.
Tetapi,
perkara itu jelas tidak berlaku. Orang Cina tidak gembira dengan
pemberian terlalu banyak projek kepada syarikat China kerana akhirnya
segala-galanya didatangkan daripada negara tersebut. Mereka tidak
mendapat apa-apa, waima untuk membekal benda-benda yang kecil sekali
pun.
Selain
itu, apa yang dikata pelaburan daripada China itu sebenarnya adalah
hutang yang terpaksa dibayar oleh rakyat dalam tempoh 15 atau 20 tahun
akan datang.
Maka,
beralihnya kiblat Najib kepada China tidak membantu memperbaiki
sokongan pengundi Cina kepada BN, malah dengan pemberian projek yang
terlalu banyak, pendekatan Najib lebih dilihat ancaman kepada kedaulatan
dan masa depan negara.
Projek
kedua yang diharapkan dapat membantu Najib memenangi pilihanraya ialah
Sukan SEA. Meskipun pencapaian pingat melehihi sasaran dan rakyat
bersatu menyokong atlit mencapai kejayaan, yang terlebih gemilang
menyerlah di sebaliknya ialah Khairy Jamaluddin.
Najib
seolah-olah tiada markah di sebalik kejayaan Sukan SEA. Pemimpin UMNO
sendiri ramai yang lebih memuji KJ, baik kerana kesediaannya berada di
hampir semua acara yang melibatkan atlit negara, ucapannya yang dikata
menyerlahkan bakat kepimpinannya dan bijaknya beliau bermain di media
sosial untuk menonjolkan dirinya.
Sebab
itu, selepas Sukan SEA berakhir, tiada "feel good factor" yang begitu
menyerlah menyinari wajah Najib yang sedia kelam dengan pelbagai isu dan
masalah.
Selepas
Sukan SEA, Najib menonjolkan pula kunjungannya ke Amerika atas jemputan
Donald Trump yang dianggapnya suatu peluang terbaik untuk menonjolkan
beliau bukanlah buruan DOJ atau FBI.
Namun,
sebelum pun beliau berlepas ke Amerika, tujuan itu telah pun musnah
apabila pentadbiran Amerika menjelaskan kunjungan Najib tiada
kena-mengena dengan DOJ. Siasatan dan tindakan DOJ, kata mereka, akan
tetap diteruskan tanpa apa-gangguan.
Di
samping ketibaan Najib di Amerika tiada sambutan rasmi, tiada
permaidani merah, tiada kereta rasmi, tidak diberi kediaman rasmi, malah
menyewa sendiri hotel kepunyaan keluarga Trump, lebih memburukkan imej
Perdana Menteri di mata 31 juta rakyat Malaysia ialah berhubung
ungkapannya mahu membantu mengukuhkan ekonomi negara kuasa besar itu.
Siapa kita mahu membantu ekonomi Amerika?
Menawarkan
wang KWSP untuk melabur di Amerika bagi projek-projek infrastruktur di
ketika nilai ringgit begitu lemah, jelas adalah pilihan yang tidak
munasabah, selain kemudahan infrastruktur dalam Malaysia sendiri banyak
yang masih kurang dan tidak teratur.
Najib
kemudian mengumumkan untuk membeli pesawat Boeing yang mencecah RM50
bilion. Di ketika MAS membuang ribuan pekerja, mengecilkan saiz syarikat
dan menamatkan beberapa laluan antarabangsa, membeli banyak pesawat
baru tentu saja menimbulkan banyak persoalan.
Oleh
kerana MAS sudah lama menggunakan sistem pajakan, ada kebarangkalian
pesawat itu adalah untuk syarikat pemajak yang kemudian MAS akan
memajaknya dalam tempoh yang panjang.
Pembelian RM50 bilion ini juga menimbulkan pertanyaan, berapa komisyen yang bakal diperolehi oleh pihak yang mengaturnya?
Kata
mereka, jika membeli kapal selam yang berharga tidak sampai RM5 bilion
dahulu pun Razak Baginda boleh dapat komisyen RM500 juta, berapa pula
broker baru akan dapat habuan melalui pembelian RM50 bilion ini?
Siapakah pula broker baru tersebut?
Lantaran
itu, berkunjung ke Amerika sama-sekali tidak memberi kelebihan kepada
Najib untuk mengadakan pilihanraya dalam waktu yang terdekat ini.
Di
sebalik tuntutan agar ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja atau RCI
berkaitan 1MDB, Najib memilih untul menubuhkan RCI untuk menyiasat
urusniaga forex. Tujuannya sangat jelas iaitu untuk memburuk dan
mengenakan Tun Mahathir Mohamad seolah-olah kehilangan wang juga berlaku
di zamannya menjadi Perdana Menteri dahulu.
Namun,
dengan pengakuan Nor Mohamed Yakcop bahawa beliau bertanggungjawab
sepenuhnya atas kerugian tersebut serta tidak pernah berbincang dengan
Perdana Menteri atau Menteri Kewangan ketika menjalankan urusniaga
perniagaan matawang bagi pihak Bank Negara, tujuan Najib dengan
sendirinya tersekat di tengah jalan.
Tiada
alasan yang kukuh untuk terus mengenakan Tun Mahathir atau Anwar
melalui RCI yang ditubuhkannya itu, bahkan dengan perletakan jawatan
serta-merta Nor Mohamed Yakcop sebagai Timbalan Pengerusi Khazanah bagai
mengesahkan bahawa Najib tidak senang dengan keterangan bekas Penolong
Gabenor Bank Negara yang mengaku bertanggungjawab itu.
Sama
seperti beberapa projek di atas, projek RCI forex juga terlihat gagal
untuk menghasilkan sesuatu yang menggembirakan bagi tujuan membantu
kemenangan dalam pilihanraya.
Ahad
lalu, Najib menghebohkan satu sidang media khas akan diadakannya di ibu
pejabat UMNO dengan kehadiran semua Ahli MT, Menteri Besar dan
menteri-menteri, malah Zahid Hamidi terpaksa memendekkan lawatannya ke
Perlis.
Ramai
yang menjangkakan, kalau pun tidak berkaitan pilihanraya, sidang media
itu mungkin mengenai pembubaran sebuah parti di Sabah atau mengumumkan
kerjasama antara UMNO dengan Pas.
Sampai
ketikanya, betul-betul anti klimaks jadinya, yang masuk UMNO dalam
sidang media khas itu hanyalah Muhammad Mohd Taib seorang saja.
Apa sudah jadi dengan Najib?
Adakah
beliau sudah begitu bingung untuk menghadapi pilihanraya sehingga Mat
Taib yang pengaruhnya tak sebesar mana dan sisi negatifnya lebih besar
itu pun diraikan dan disambut dengan begitu begitu meriah?
Membawa
Mat Taib masuk semula UMNO dengan sambutan yang meriah tidak saja
menjadi bahan tertawa semua, malah tentunya juga tiada apa-apa kelebihan
kepada Najib untuk mendepani Pakatan Harapan yang dipengerusikan oleh
Tun Mahathir, begitu juga tiada markah tambahan untuk menawan semula
Selangor.
Mat
Taib terlalu jauh jika mahu digunakan untuk melawan aura dan pengaruh
Tun Mahathir. Untuk konteks Selangor pula, Mat Taib bukan lagi zamannya
untuk dipergunakan bagi menumbangkan Azmin Ali.
Sehingga
ini lima projek Najib - meninta bantuan ekonomi China, Sukan SEA,
kunjungan ke Amerika, RCI forex dan kemasukan Mat Taib ke dalam UMNO -
semuanya gagal memberi impak positif untuk menang pilihanraya.
Satu-satunya
harapan yang tinggal buat Najib ialah Bajet 2018 yang akan
dibentangkannya pada 27 Oktober depan. Tidak mustahil tawaran bajet kali
ini adalah gila-gila menariknya kerana ia bukan untuk ditunaikan,
tetapi hanya semata-mata untuk memikat pengundi agar kuasa terus kekal
ditangannya.
Tetapi,
jika impaknya juga negatif sebagaimana lima projek sebelumnya, Najib
tiada pilihan selain menganjakkan tarikh pilihanraya sehingga ke akhir
tempoh iaitu pertengahan tahun 2018.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan