Cubaan
pelawak dan pelakon Zizan Razak membuat lawak mengenai seluar dalam
dipakai penyanyi kumpulan K-pop Blackpink, Jennie, bukan mengundang lucu
sebaliknya komennya itu menjadi pertikaian pengguna media sosial.
Antara lain, pengguna media sosial mengingatkan pelakon filem Polis Evo itu agar lebih menghormati wanita dan tidak melakukan lawak tidak wajar seperti itu.
Menurut pengguna akaun Twitter @Staph2019, lawak Zizan dilihat memberi gambaran buruk terhadap negara.
“Zizan adalah artis dari Malaysia, jadi dia mewakili Malaysia. Terima kasih atas tindakan yang memalukan ini.
“Ini adalah gangguan seksual. Bukan lawak. Zizan perlu tahu had,” ciapnya.
Selain
itu, pengguna akaun @flamingoboii turut menambah meskipun Jennie tidak
memahami bahasa Melayu, ia tidak memberi hak kepada Zizan berkata
demikian.
“Mana rasa hormat kepada wanita, dah la tak lawak kemudian guna lawak tak wajar,” ciap netizen itu.
Gambar
yang menjadi pertikaian itu adalah yang dimuat naik oleh Jennie,
semalam. Gambar tersebut mendapat lebih 5 juta tanda suka dan lebih
120,000 komen.
“Nah sayang ini. Patutlah abang cari boxer (seluar dalam) abang tak jumpa. Sayang pakai rupanya.
“Tolong basuh nanti pulang balik ye sebab abang beli bundle tu. Barang kena selam baru dapat,” katanya.
Sementara
itu, netizen dari Twitter @fathiah_Ego7 pula berkata: "Ini bukan
membela artis k-pop tetapi komen Zizan sangat menjijikkan bagi saya. Dia
wanita, mana rasa hormat?”ciapnya.
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan komen Zizan berkenaan perkara tersebut.
Persatuan Karyawan Malaysia berkata, lanjutan PKPP akan memberi tamparan ke atas mereka yang terlibat dalam industri hiburan.
PETALING JAYA: Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) mendesak
kerajaan supaya “menunjukkan belas kasihan” dan membenarkan industri
hiburan dibuka semula sekiranya perintah kawalan pergerakan pemulihan
(PKPP) dilanjutkan lagi selepas 31 Ogos ini.
Presiden Karyawan, Freddie Fernandez berkata, pemuzik negara amat
terkesan dengan sekatan pandemik itu, selain ramai yang tidak bekerja
sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac.
Kekurangan pendapatan memaksa pemuzik tertentu menjual alat muzik
mereka untuk mengumpul wang, sementara ada juga yang dihalau dari rumah
mereka, kata Fernandez.
“Sebarang lanjutan (PKPP) pada masa ini akan menjadi
tamparan hebat bagi industri kerana banyak kelab yang berpotensi
menggaji pemuzik ditutup, dan banyak lagi yang tiada pilihan melainkan
melakukan perkara yang sama,” katanya kepada FMT.
Katanya, beberapa pemuzik menceburkan diri dalam perniagaan lain,
seperti menjual makanan sebagai sumber pendapatan sementara, tetapi
hanya sedikit pendapatan diperolehi berbanding pendapatan mereka sebelum
PKP.
Fernandez berkata, penghibur harus diberi kelonggaran untuk membuat
persembahan di restoran atau premis lain yang dibenarkan beroperasi jika
PKPP dilanjutkan.
Beliau berkata, ini boleh dilakukan dengan selamat mengikut SOP,
seperti melaksanakan langkah jarak fizikal dan pembasmian kuman ke atas
semua peralatan, terutama mikrofon.
“Ketika negara lain kembali ke rutin normal, sangat menyedihkan apabila sektor ini tidak dibenarkan untuk beroperasi semula.
“Kami mohon kepada pihak berkuasa. Minta simpati kepada para pemuzik
dan pemilik premis. Pastikan mereka mematuhi SOP dengan tegas dan mereka
akan sambut baik untuk beri kerjasama kepada kerajaan.”
Kumpulan perubatan bagaimanapun berpendapat, PKPP akan
dilanjutkan memandangkan berlaku peningkatan kes Covid-19 yang diimport
serta pengesanan kluster baru, yang bermaksud sekatan tertentu mesti
diteruskan.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr N Ganabaskaran
berkata, laporan harian orang yang ditahan kerana ingkar PKPP adalah
bukti bahawa negara ini belum bersedia untuk melonggarkan sekatan
pergerakan.
“Kerajaan seharusnya tidak perlu terburu-buru untuk menamatkan
sekatan dan membuka lebih banyak sektor. Keselamatan mesti diutamakan.
“Sekatan semasa perlu dikekalkan. Pantau perkembangan dan longgarkan
sekatan hanya apabila tiada peningkatan ketara (kes jangkitan) yang
konsisten,” katanya.
Ganabaskaran berkata, indikasi yang tepat untuk melonggarkan sekatan
adalah jika kes harian turun menjadi sifar dan kekal selama beberapa
minggu.
Dalam pada itu, beliau juga menekankan bahawa jarak fizikal,
pemakaian pelitup muka dan mengamalkan kebersihan diri adalah langkah
penting yang mesti diteruskan sehingga wabak itu diumumkan berakhir di
peringkat global.
“MMA memerhatikan bahawa penguatkuasaan yang konsisten diperlukan
atau pematuhan akan menurun. Ini akan mencetuskan kluster baru dengan
mudah.
“Perlu diingatkan bahawa seorang sahaja boleh menyebabkan seluruh
negara berada dalam perintah berkurung. Kita perlu berhati-hati dengan
risiko ini, ” katanya.
Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial berkata, lanjutan PKPP
adalah penyelesaian terbaik untuk mengekang penyebaran virus dan
menggesa masyarakat untuk kekal patuh dengan SOP.
Ketua pegawai eksekutifnya, Azrul Mohd Khalib, memberitahu FMT bahawa
mereka menjangkakan PKPP akan dilanjutkan sehingga Disember.
“Melihatkan keadaan di rantau ini dan di seluruh dunia, lanjutan PKPP
adalah masuk akal untuk mengekalkan kebolehan dan pencapaian yang kita
harungi selama ini.
“Sehingga vaksin yang diluluskan dan boleh dicapai dikembangkan dan
latihan seluruh negara dilakukan untuk memberi vaksin sebanyak mungkin
kepada populasi, kita perlu jangkakan sejumlah kes jangkitan baru dalam
masyarakat,” katanya.
Saifuddin
(tengah) ketika melakukan lawatan kerja ke TGV Cinemas di sebuah
kompleks beli-belah terkemuka di Kuala Lumpur pada Jumaat. Gambar Astro
AWANI/SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Meskipun panggung
wayang kini dibenarkan kembali beroperasi namun tidak mustahil ia
ditutup sekiranya berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP)
atau muncul kluster baru di lokasi tersebut.
Justeru, Menteri
Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah mengingatkan rakyat
supaya sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan ketika berhibur di
pawagam.
Mengambil contoh sebuah pasar malam yang ditutup kerana tidak mematuhi
SOP, Saifuddin bagaimanapun berharap perkara sebegitu tidak berlaku di
panggung wayang seluruh negara.
Menteri
Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah mengingatkan rakyat
supaya sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan ketika berhibur di
pawagam.
"Jadi kita tidak mahu itu (penutupan operasi) berlaku di panggung wayang dan sebagainya.
“Jadi nasihat saya ialah, sambil di satu pihak, panggung wayang
menyediakan satu SOP yang ketat dan kita sebagai penonton, harus juga
mengikut, mengawal diri, mengikut SOP yang ketat itu.
“Kita tak
mahu perkara tidak diingini berlaku,” katanya dalam sidang media selepas
melakukan lawatan kerja di TGV Cinemas di sebuah kompleks beli-belah
terkemuka di sini pada Jumaat.
Beliau meninjau persediaan
pengendali pawagam dalam memastikan mereka mematuhi setiap SOP
digariskan kerajaan terutamanya berkaitan penjarakan sosial dan
kebersihan.
Turut hadir ialah Pengerusi Perbadanan Kemajuan
Filem Nasional Malaysia (FINAS), Zakaria Abdul Hamid dan Pengerusi TGV
Cinemas, Shaharul Rezza Hassan.
Dalam pada itu, Saifuddin turut
menggalakkan rakyat Malaysia membantu pengendali pawagam dengan menonton
filem disediakan kerana menurutnya, tiada gunanya kalau panggung wayang
dibuka namun tiada penonton yang hadir.
Tambahnya, berdasarkan
tinjauan dan laporan diterima, operator pawagam mengikuti syarat
ditetapkan kerajaan dari aspek kebersihan, keselamatan dan pematuhan
SOP.
Berdasarkan
tinjauan dan laporan diterima, operator pawagam mengikuti syarat
ditetapkan kerajaan dari aspek kebersihan, keselamatan dan pematuhan
SOP.
“Yang paling penting sekarang adalah
bukan hanya pengendali ikut SOP tapi penonton harus datang. Sebab itu
kita datang pada malam ini, kita nak tunjukkan kepada penonton bahawa di
satu pihak, ada yang sediakan filem untuk ditayangkan.
“Di satu pihak lain, pengendali pawagam yang bersedia untuk jaga keselamatan anda semua dengan pelbagai kaedah.
“Penjarakan sosial dijaga, tempat disanitasi, kebersihan dipelihara,” ujarnya.
Penyanyi, Wani Kayrie (kanan) yang turut mendapat kecaman kerana membawakan watak
Dayang Senandung.
KECOH di laman sosial pagi tadi berkenaan dengan drama Dayang
Senandung terbitan Zeel Poduction yang dianggap rasis kerana memaparkan
seorang wanita berkulit gelap akibat terkena sumpahan.
Kekecohan itu bermula selepas penyanyi, Wani Kayrie yang juga
memegang watak Dayang Senandung dalam drama tersebut memuat naik video
tariannya menerusi akaun Tik Tok.
Video tersebut kemudian tersebar di laman sosial dan bermulalah siri
kecaman yang menganggap drama itu bersifat mendiskriminasi warna kulit.
Apatah lagi di Amerika Syarikat sedang aktif gerakan Black Lives
Matter yang memperjuangkan isu penindasan terhadap orang kulit hitam.
Perkara itu kemudian terus dikaitkan dengan drama Dayang Senandung.
Tidak lama selepas itu, muncul pula petisyen yang dibuat netizen supaya penggambaran drama itu dihentikan serta merta.
Setakat ini, sudah 2,600 orang menandatangani petisyen tersebut.
Ini bukan kali pertama watak Dayang Senandung yang berkulit hitam legam menjadi isu dikalangan rakyat.
Pada 2017, sebuah syarikat rangkaian penjual barangan penjagaan diri
telah memuat naik iklan yang memaparkan Dayang Senandung sebagai watak
utama.
Namun, tidak sampai 12 jam ditayangkan di laman Facebook rasmi jenama
itu, iklan tersebut telah ditarik balik kerana mendapat kecaman
netizen.
Rata-rata menganggap syarikat tersebut tidak sensitif dalam isu perkauman dan mendiskriminasi warna kulit.
Cerita Dayang Senandung adalah kisah dongeng tempatan melibatkan
seorang puteri raja yang dilahirkan bertubuh hitam akibat terkena
sumpahan.
Kisah ini diakhiri dengan takdir tubuhnya menjadi cerah dimana sumpahan tersebut telah terhapus.-SM
PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju untuk membenarkan penggambaran drama,
filem dan iklan, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob.
Namun kegiatan dihadkan kepada maksimum 20 orang terlibat, iaitu kru dan artis, dalam setiap sesi penggambaran.
“Kebenaran penggambaran ini akan bermula selepas perayaan
Aidilfitri dan perlu mematuhi tatacara operasi standard yang ditetapkan
oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan,” katanya.
Bagaimanapun, penggambaran atau rakaman “centre stage” dan
persembahan secara langsung melibatkan penonton yang ramai masih tidak
dibenarkan.
SOP lain yang perlu dipatuhi syarikat produksi:
Melakukan mesyuarat dan uji bakat secara dalam talian.
Mengemukakan rekod perjalanan semua tenaga produksi dan artis bagi tempoh 4 minggu sebelum penggambaran.
Melantik seorang penyelia keselamatan bagi memastikan pematuhan SOP di semua peringkat produksi.
Perkhidmatan buffet bagi petugas dan artis tidak dibenarkan. Makanan perlu dihidangkan secara pek individu.
Jurusolek dan penata rias perlu menggunakan face shield, dan cuci
tangan sebelum dan selepas menyolek dan menata rias setiap artis.
Kerajaan
akan mempertimbangkan untuk membenarkan kegiatan penggambaran
diteruskan semula ketika tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP),
selepas Hari Raya ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail
Sabri Yaakob.
Ismail berkata kerajaan masih memerlukan masa untuk
mempertimbang setiap aspek dalam kegiatan penggambaran, antaranya
berkenaan penjarakan sosial ketika ketika penggambaran.
Beliau berkata ia merangkumi kegiatan penggambaran antaranya untuk filem, drama televisyen dan iklan.
Kementerian
Komunikasi dan Multimedia (KKMM) telah mengemukakan kertas cadangan
mengenai kemungkinan membenarkan aktiviti penggambaran pada Selasa lalu,
katanya.
"Kita
ambil kira setiap pandangan dan belum putuskan nak beri kebenaran (atau
tidak) sebab banyak pertimbangan yang perlu dilihat.
"Berkenaan
lakonan (penggambaran filem atau drama) mungkin berlaku kes tiada
penjarakan sosial. Ini kerana ia bukan saja melibatkan pelakon tapi kru
yang ramai.
"Sebab itu kami terpaksa tangguh dulu keputusan.
Mungkin selepas Hari Raya kami akan pertimbangkan semula," katanya
ketika sidang media di Putrajaya yang disiar secara langsung hari ini.
Semalam, Malaysiakini
melaporkan KKMM akan memutuskan prosedur operasi standard (SOP) yang
harus dipatuhi oleh pemain industri kreatif untuk kegiatan penggambaran
semasa perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).
KKMM berkata, cadangan SOP telah dibawa ke mesyuarat khas menteri-menteri.
Keadaan sofa yang berkulat teruk disebabkan cuaca lembap dan tiada pendingin hawa. ( Gambar Facebook)
Pembukaan semula operasi
perniagaan dan pusat membeli-belah dibawah Perintah Kawalan Pergerakan
Bersyarat (PKPB) baru-baru ini menyaksikan banyak aduan yang diterima
melibatkan kerosakan barang jualan di kedai.
Panggung wayang juga menerima nasib yang sama akibat penutupan operasi setelah hampir 2 bulan.
Jika sebelum ini tular beberapa gambar yang menunjukkan keadaan
barangan di sebuah pusat membeli-belah yang rosak teruk gara-gara hampir
2 bulan tidak beroperasi akibat wabak Covid-19.
Terbaru, laman Facebook Malaysia Atrium Sale berkongsi gambar sebuah
panggung wayang yang menerima nasib yang sama apabila kerusi sofa mereka
berkulapuk.
Bukan sahaja sofa malah karpet juga berkulat. (Gambar Facebook)
Gambar dalam panggung wayang yang tular di media sosial menunjukkan
kerusi dan lantai dalam panggung wayang rata-ratanya rosak ditumbuhi
kulat.
Ia mungkin disebabkan 2 bulan pendingin hawa tidak dipasang dan udara
lembab di dalam panggung wayang menyebabkan kulat tumbuh secara aktif.
Tidak dapat dipastikan lokasi panggung wayang tersebut, namun kulat
yang tumbuh di bahagian kerusi dan lantai, hampir sama dengan kulat yang
tumbuh pada aksesori barangan kulit yang dikongsikan sebelum ini.
Pihak syarikat yang mengendalikan panggung wayang akan menghadapi
sedikit tekanan dari segi kos dan masa untuk memulihkan kembali keadaan
panggung wayang seperti sedia kala.
Berhubung penyebaran gambar barangan kulit yang dijangkiti kulat
sebelum ini, kumpulan The MUI yang menguruskan Metrojaya Suria Sabah,
Kota Kinabalu terpaksa mengambil tindakan untuk membuang barang kulit
yang telah rosak.
Dasar perjuangan SIS jauh dari Islam, mereka lebih agungkan Barat
BANGI –
Pertubuhan liberal yang sudah difatwa sesat, Sister In Islam sepatutnya
tidak diberikan ruang atau pentas untuk terus merosakkan pandangan
terhadap Islam, termasuk menganjurkan pesta ronggeng yang dianggap agak
melampau.
Ketua
Wanita gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Dr Ustazah
Suriani Sudi berkata, SIS yang lantang memberi sokongan kepada seks
songsang lebih cenderung untuk mengikut jejak langkah Barat dalam setiap
aktiviti mereka.
Katanya,
dasar perjuangan SIS jauh daripada nilai-nilai fundamental Islam,
justeru mereka tanpa segan silu menyokong lesbian, gay, biseksual dan
transgender (LGBT), menentang keras ‘child marriage’.
“Tetapi
senyap sunyi tentang penzinaan di kalangan remaja. Pakaian menutup aurat
dianggap arabisasi, tetapi budaya hedonisme seperti ini dikatakan
sebahagian daripada budaya masyarakat.
“Mereka
tidak layak dipanggil sebagai Sisters In Islam kerana setiap tindakan
hanya mencemar dan mengotorkan pandangan terhadap Islam.
“Seharusnya
mereka menukar nama kepada Sisters Against Islam. Mereka tidak mencari
keindahan Islam, malah mensensasikan berita-berita yang boleh membawa
imej buruk kepada Islam,” katanya kepada Ismaweb, hari ini.
Beliau
berkata demikian mengulas penganjuran Pesta Ronggeng oleh SIS, kononnya
untuk mendapatkan sumbangan penajaan kerja amal yang dijalankan mereka.
Pesta berkenaan turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.
Mengulas
lanjut, Dr Suriani yang juga Pensyarah di Kolej Universiti Islam
Antarabangsa Selangor (KUIS) berkata, walau apa saja alasan SIS, hasrat
mereka untuk mengumpul dana dengan cara sedemikian bertentangan dengan
syarak.
Katanya, Islam tidak menghalalkan perkara yang bertentangan syarak walaupun matlamatnya baik.
“Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan dalam majlis tari menari bukanlah cara yang betul di dalam Islam.
“Pesta
ronggeng adalah budaya yang dibawa masuk oleh penjajah Barat. Kita tak
mahu anak-anak Melayu terpengaruh dengan budaya kuning ini,” katanya.
Malaysia baharu sama dengan Malaysia lama atau lebih teruk?
BANGI
– Nama Sister in Islam (SIS) langsung tidak mencerminkan apa itu Islam,
apatah lagi perjuangan membela wanita muslim kerana agama tidak
mengajar wanita ‘terkinja-kinja’ menari di dalam majlis terbuka.
Demikian
kenyataan sinis Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin
Yahaya yang menyelar penganjuran pesta ronggeng oleh pertubuhan liberal
berkenaan di ibu negara, baru-baru ini.
Beliau
berkata, penganjuran seumpama itu bukanlah suatu yang mengejutkan kerana
sifat SIS adalah sebuah pertubuhan liberal dan bebas tanpa batasan.
“Mungkin
selama ini mereka rasa terkongkong tetapi selepas Pakatan Harapan (PH)
mengambil alih kerajaan, mereka menonjolkan wajah sebenar mereka.
“Di sini
jelas bahawa SIS mahu menggunakan kedudukan Tun Mahathir untuk
melindungi kegiatan-kegiatan mereka kerana anaknya, Marina adalah orang
kuat SIS,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau
turut menyifatkan penganjuran itu bukan hanya mencemarkan nama Islam,
bahkan memberikan mesej yang salah kepada generasi muda bahawa Islam
membenarkan tarian antara lelaki dan perempuan di depan khalayak ramai.
15
Februari lalu, SIS dikatakan menganjur Pesta Ronggeng bagi mendapatkan
sumbangan penajaan kerja amal yang dijalankan mereka, yang turut
dihadiri oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun
Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.
Sejak
beberapa hari lalu, tular video memaparkan Dr Mahathir menari bersama
anaknya, Marina sambil disaksikan ramai hadirin yang hadir dalam majlis
itu.
Mengulas
perkara itu, Aminuddin berkata, rakyat turut terkilan dengan pembabitan
Perdana Menteri dalam acara seperti itu, dalam keadaan ekonomi tenat dan
rakyat semakin menderita.
“PM masih
ada masa untuk bergembira dan menari di khalayak awam. Apakah kesakitan
rakyat tak dikongsi oleh Perdana Menteri? Apakah pengorbanan hanya untuk
rakyat, walhal pemimpin boleh bersuka ria dan menikmati segala
kemewahan?
“Apakah
ini dikatakan sebagai Malaysia baharu atau sebenarnya sama sahaja dengan
‘Malaysia lama’ atau lebih teruk? Ini semua persoalan yang harus
dijawab oleh pemimpin negara.
“Kemanakah
negara kita akan menuju dan apakah masa depan untuk agama dan bangsa
masih terjamin jika pemimpin masih leka?,” katanya.
KUALA LUMPUR – Kumpulan Drama Band yang dikritik kerana
menyindir orang politik dalam persembahannya di Anugerah Juara Lagu
(AJL) tidak perlu meminta maaf.
Itu kata Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil yang juga Pengarah Komunikasi PKR.
“Drama Band tak perlu mohon maaf. Bukan kamu yang curi duit rakyat,” katanya dalam hantaran Twitternya hari ini.
Semalam, Drama Band memohon maaf kepada pihak yang tersinggung dengan
persembahan mereka dalam AJL kali 34 yang memaparkan badut bagi
menggambarkan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dan
isterinya, Datin Rosmah Mansor.
Bagaimanapun dalam hantaran Fahmi itu turut mengundang kecaman
warganet yang menganggap pempin Pakatan Harapan (PH) sengaja memainkan
isu Drama Band.
“Sebab dia minta maaf dia tahu orang yang dia minta maaf tak buat
salah. Pemimpin PH sudah kepanasan sekarang ini. Isu rakyat tak ke mana,
isu Drama Band diketengahkan,” kata Kebebasan Bersuara Era Baru.
Dalam pada itu seorang warganet, Nashy Banna pula memerlinya dengan
menulis: “Pak Ya tak perlu mohon maaf. Bukan dia yang kencing rakyat.”
Sebelum itu, pelawak Pak Ya tidak dibenarkan membuat persembahan di
Shah Alam gara-gara mengkritik PH dalam satu rancangan realiti sehingga
menimbulkan kemarahan ramai pihak.- MalaysiGazette
Gesaan seorang pengguna media sosial supaya syarikat Les’
Copaque berusaha memperbaiki akhlak dipaparkan dalam kisah kanak-kanak
popular, Upin & Ipin nampaknya mencetus polemik dalam kalangan
peminat animasi berkenaan.
Syarikat penerbitan dan studio animasi
itu antaranya diminta berhenti daripada terus membiarkan watak-wataknya
menggunakan bahasa kasar kerana dikhuatiri boleh memberi pengaruh buruk
kepada kanak-kanak.
Pengguna akaun Twitter @alyaaoreo berkata,
Les’ Copaque sewajarnya berusaha meningkatkan kandungan yang mempunyai
nilai-nilai murni atau membatalkan saja rancangan mereka jika gagal
berbuat demikian.
“Saya
tak mahu anak membesar dengan menonton kisah sebegini dengan bahasa
kasar dia semua. Tidak. Bukan nilai yang saya nak tanamkan dalam anak,”
ciapnya.
Selain itu, pengguna akaun terbabit turut menggesa agar watak Sally dibuang.
"Buang karakter Sally whatever tu," ciapnya.
Watak
Sally sebenarnya adalah seorang dewasa yang nama sebenarnya ialah
Salleh. Salleh digelar sebagai Sally oleh orang-orang kampung ekoran
perwatakannya yang disifatkan ‘lembut.’
Terdahulu,
menerusi akaun Twitter rasmi, Les’ Copaque dilihat meminta
pengikut-pengikut mereka di laman sosial berkongsi idea cerita paling
unik untuk musim terbaru Upin & Ipin tahun depan.
Melalui hasil semakan Malaysiakini setakat
petang ini, hantaran dikongsikan @alyaaoreo itu menerima lebih 6,000
tanda suka dan diulang kicau lebih daripada 4,000 kali. Bagaimanapun,
ciapan itu telah dipadam beberapa jam selepas dinaikkan.
Perkongsian
itu mengundang pelbagai respons daripada pengguna alam maya antaranya
pengguna akaun choqkodok yang bersetuju dengan gesaan dibuat.
“Saya
sebagai ayah kepada dua cahaya mata amat setuju dengan cadangan ni,
saya tak mahu anak akan biadab dengan saya ketika bagi amaran, dia
menjawab dengan keriangan; betul, betul, betul, lepas tu lari
gelak-gelak hilangkan diri,” katanya.
Untuk rekod, watak Upin & Ipin, Kak Ros serta Sally sedang sohor kini di Twitter.
Sentiasa jaga adab
Bagaimanapun,
pengguna akaun @sueannajoe_ yang berkata, dia tidak melihat kisah
dihidangkan dalam Upin & Ipin membawa pengaruh membimbangkan.
“Saya
suka anak-anak menonton Upin & Ipin kerana banyak budaya dipaparkan
terutama budaya kampung. Ia sentiasa menarik perhatian anak lelaki
saya.
“Anak lelaki saya berusia dua tahun pun menyukainya. Setakat
ni tak ada pula perkara tak elok berlaku pada anak saya kerana menonton
rancangan tersebut kecuali pendedahan kepada perkara dia tak dapat
nikmati di bandar,” katanya.
Sementara itu, bercakap kepada Malaysiakini,
pengasas dan penerbit Les' Copaque Burhanuddin Md Radzi menjelaskan
penggunaan dialog kau dan aku tidak sepatutnya menjadi isu selepas 14
tahun kisah animasi itu dihidangkan buat tontonan umum.
Katanya, watak Upin & Ipin tidak menggunakan perkataan kau dan aku sewaktu bercakap dengan orang dewasa.
"Sudah 14 tahun, dari dulu lagi kita sentiasa menjaga semua adab watak-watak dipaparkan.
"Upin
dan Ipin hanya menggunakan dialog kau dan aku dalam kalangan rakan
sebaya. Tapi dengan orang dewasa mereka menggunakan kata ganti nama
sendiri iaitu Upin dan Ipin," katanya.
Mengulas watak Kak Ros, Burhanuddin (gambar, atas)
berkata, karakter itu dikekalkan bersikap garang selepas ramai peminat
mengkritik dan menggesa berbuat demikian berbanding perubahan dibuat.
"Kami
cipta Kak Ros sebagai seorang yang garang. Kami pernah kurangkan sikap
garang Kak Ros tapi beratus-ratus pula orang komen sebab tak berpuas
hati," katanya.
Pada masa sama, Burhanuddin mempertahankan
perwatakan Salleh atau Sally dengan berkata, watak lelaki lembut memang
wujud secara realiti pun begitu ia masih menjaga tatasulia pemakaiannya.
“Salleh masih berpakaian seperti lelaki bukan perempuan. Dalam dunia memang ada orang lembut, mereka makhluk Tuhan.
"Cuma
saya pastikan tona suaranya tak dibuat melampau hingga tergedik-gedik
dan dia masih membahasakan dirinya sebagai Abang Salleh,” katanya.
Yang
di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
mendengar sesuatu yang diperkatakan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah
Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul
SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1441H/2019M di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
foto SYAFIQ AMBAK,
KUALA LUMPUR – Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah
Maimunah Iskandariah melahirkan rasa terkejut baginda terhadap
penganjuran Tattoo Malaysia Expo 2019 yang tular, hari ini.
Di Twitter rasminya, Tunku Azizah bertitah apa sudah jadi dengan
negara ini yang menganjurkan peragaan separuh bogel diadakan pada acara
tersebut.
“Allahuakbar ….. apa nak jadi ni!,” tweet Tunku Azizah.
Raja Permaisuri Agong merujuk kepada satu status yang dimuatkan oleh @AheriAnuar mengenai acara berkenaan.
Aheri berkata “Yb Syed Saddiq , YB agama kita tak nak komen ke?
Budaya
apa yang mendasari kepimpinan kerajaan PH ini ya? Event begini pun dah
lepas,” katanya sambil tag Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed
Abdul Rahman.
Tweet lima patah perkataan Tunku Azizah di retweet lebih 6,000 dan 6,500 likes di Twitter.
Awal hari ini, program peserta tattoo separuh bogel timbulkan
kemarahan ramai warganet apabila tular gambar para peserta Malaysia
Tattoo Expo 2019 yang berkeadaan separuh bogel.
Rata-rata netizen mengutuk apa yang berlaku kerana ia bertentangan dengan agama dan moral penduduk di negara ini.
Lebih menimbulkan kemarahan apabila netizen mendapati majlis yang
sama mendapat sokongan kerajaan melalui Kementerian Pelancongan, Seni
dan Kebudayaan (MOTAC).
Namun dalam satu kenyataan hari ini, menterinya, Datuk Mohamaddin
Ketapi berkata,
kementeriannya akan mengambil tindakan sewajarnya ke
atas penganjur Tattoo Malaysia Expo 2019, susulan peragaan separuh bogel
diadakan pada acara tersebut.
Malah beliau telah mengarahkan agensi di bawah MOTAC iaitu Malaysia
Convention and Exhibition Bureau (MyCeB) untuk menyiasat perkara
tesebut. – MalaysiaGazette
KUALA LUMPUR – Dua menteri wajar bertanggungjawab dan meminta
maaf kepada rakyat Malaysia atas penganjuran Festival Tatu 2019 yang
berlangsung selama tiga hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC)
dari 29 November hingga 1 Disember lalu.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali
berkata, dua menteri itu ialah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya,
Datuk Mohamddin Ketapi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama),
Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof.
Selain
itu, katanya, menteri berkenaan juga perlu melakukan siasatan
menyeluruh mengenai insiden itu yang telah mengaibkan nama baik negara
dan memalukan rakyat Malaysia.
“Mereka bukan sahaja perlu melakukan siasatan menyeluruh mengenai
insiden ini, Menterinya juga patut memohon maaf kepada masyarakat di
negara ini yang berbudaya ketimuran.
“Lebih lagi majoriti rakyatnya beragama Islam sangat memelihara maruah dan harga diri.
“Menteri Hal Ehwal Agama juga sewajarnya mengakui kesilapan beliau
dan bertanggungjawab atas naratif yang kurang tepat dan salah dalam
memperkenalkan konsep rahmatan lil ‘alamin yang sebenar, sehingga
menatijahkan insiden seumpama ini,” katanya dalam kenyataan di sini,
hari ini.
Menurut Dr. Mohd Khairuddin, kejayaan penganjuran Tattoo Malaysia
Expo 2019 di Kuala Lumpur itu diburukkan lagi dengan persembahan separuh
bogel para pesertanya.
Katanya, amat memalukan kejadian itu berlaku ketika kerajaan Pakatan
Harapan (PH) sedang rancak memperkenalkan dan melaksanakan dasar
rahmatan lil alamin dan negara Rahmah.
“Ini
adalah kegagalan Kementerian Pelancongan yang tidak memahami latar
belakang dan realiti penganjurannya, bahkan memperlihatkan kementerian
itu sendiri pun tidak begitu memahami dan menghayati dasar yang telah
dibentangkan oleh Dr. Mujahid kepada semua kementerian.
“Jika kementerian pelancongan tulus dan serius terhadap dasar
tersebut, pasti program sebegini dipantau dan dikawal dengan lebih ketat
atau sepatutnya tidak meluluskannya dari awal lagi,” katanya. –
MalaysiaGazette
Sepuluh protege telah dipilih untuk berentap dalam program realiti Mentor Milenia yang akan membuka tirainya minggu depan.
Mereka
ialah Aedy Karma, Sean Asyraf (Bulan), Apex Tajudin, Ayien Malik,
Sharee Lopes, Ryan Que, Remy Manaf, Rika Rianna, Daus Husny dan Yazrul
Arrep.
Penyanyi Akim Ahmad, Black Hanafiah dan Hazama Azmi kembali
sebagai mentor yang akan memberi bimbingan kepada peserta saban minggu.
Dua lagi mentor baru ialah Stacy Anam dan Ernie Zakri.
Akim akan menjadi mentor kepada Sharee Lopes dan Ryan Que, manakala Black mentor kepada Aedy Karma dan Bulan.
Apex
Tajudin dan Ayien Malik bakal mendapat bimbingan Hazama dan Remy Manaf
serta Rika Rianna dibimbing Stacy. Ernie pula akan menjadi mentor kepada
Daus Husny dan Yazrul Arep.
Penyanyi dan pelakon Alif Satar mengingatkan peminat kumpulan dari
Korea Selatan, BTS atau Bangtan Boys agar tidak obses atau menggilai
seseorang selebriti hingga menjadi terlalu sensitif.
Alif yang
dikecam baru-baru ini oleh BTS army kerana diikatakan salah fakta
mengenai kumpulan berkenaan berkata, tidak salah meminati seseorang
selebriti namun tidak perlu sampai berlaku perbalahan.
“Tak perlu
terlalu taasub dengan artis. Nanti di akhirat tak akan ditanya pun nama
setiap anggota kumpulan yang anda taasubkan tu.
"Dalam pada kita
meminati seseorang artis atau kumpulan seperti BTS ini, janganlah sampai
berlaku pergaduhan. Jangan jadi terlalu sensitif dan taasub," katanya
dipetik Harian Metro.
Kata Alif, Instagram tidak sepatutnya menjadi tempat yang terlalu serius.
“Saya faham bagaimana rasanya meminati seseorang artis kerana saya sendiri pun peminat fanatik Siti Nurhaliza,” katanya.
Pada
29 Oktober lalu, Alif menjadi hos program realiti Astro yang bersiaran
setiap minggu dengan salah seorang daripada peserta menyanyikan lagu Boy
With Luv.
Namun, sewaktu membuat pengumuman, Alif menyebut lagu berkenaan asalnya dinyanyikan lapan orang.
Untuk rekod, Boy With Luv dinyanyikan anggota BTS yang dianggotai tujuh ahli bersama seorang penyanyi undangan iaitu Halsey.
Oleh sebab itu, jumlah berkenaan dianggap menyamai lapan orang termasuk Halsey.
Kumpulan BTS dianggotai oleh Jungkook, RM, Suga, V, Jimin, Jin dan J-Hope.
Kenyataan
Alif itu mengundang perasaan tidak puas hati BTS army kerana dianggap
tidak mempunyai pengetahuan terhadap kumpulan berkenaan.
Alif turut ditanya sama ada situasi itu mengakibatkan dia gentar, namun, dia melihat perkara itu sebagai sesuatu yang melucukan.
"Bagi saya secara peribadi, apa yang berlaku itu sangat kelakar. Ada yang menghentam dan ada juga army menyokong saya kerana mereka tahu, saya tak sebut benda salah pun," katanya.
Dua konsert artis luar negara yang bakal berlangsung Sabtu ini
diawalkan bagi menghormati bacaan doa sempena Maal Hijrah pada petang
hari tersebut.
Salah satunya oleh penyanyi India SP
Balasubrahmanyam di Plenary Hall KLCC yang akan bermula pada pukul 3
petang - awal beberapa jam daripada waktu asal iaitu 7 malam.
Perkara itu diumumkan penganjur Raaghav Production di laman Facebooknya semalam.
"Hanya
baru-baru ini kami dimaklumkan tidak boleh ada sebarang persembahan
selepas 7.30 malam pada 31 Ogos kerana ia bertembung dengan sambutan
Awal Muharam.
"Puspal
(Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar
Negara) dan Jakim menyatakan (kebimbangan) bahawa penganjuran konsert
selepas 7.30 petang akan mencetuskan rasa kurang senang di kalangan
orang Islam yang boleh menyebabkan kontroversi kaum," katanya.
Semua
artis yang ingin membuat persembahan di Malaysia perlu mendapat
kebenaran Puspal, sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan
Multimedia Malaysia.
Raaghav Production berkata pihaknya kini sedang cuba menghubungi pembeli tiket untuk memaklumkan perubahan waktu itu.
"Kami
di Raaghav Production telah melakukan semua usaha dan mencuba yang
terbaik untuk menjelaskan kepada pihak berkuasa bahawa persembahan SP
Balasubrahmanyam adalah acara tertutup dan bukan tidak hormat kepada
sambutan Awal Muharam atau mencetuskan apa-apa isu, tetapi rayuan kami
tidak diterima," kata syarikat itu.
Ketika dihubungi, jurucakap
Raaghav Productions berkata syarikat itu hanya akan memberikan maklumat
lanjut ketika sidang media malam ini di Petaling Jaya.
SP
Balasubrahmanyam, atau lebih dikenali sebagai SPB, ialah penyanyi,
pengarah muzik dan komposer terkenal dari india. Dia kini berusia 73
tahun.
Satu lagi konsert ialah oleh penyanyi Taiwan Bobby Chen di
Stadium Melawati Shah Alam. Persembahannya diawalkan ke pukul 12 tengah
hari dari jadual asal 7.30 malam.
Penganjur Soul9s Production berkata keputusan itu bagi memberi laluan kepada acara Maal Hijrah oleh kerajaan negeri.
Syarikat
itu memohon maaf atas perubahan itu dan berkata sesiapa yang mahu
menebus tiket mereka boleh berbuat demikian sebelum 29 Ogos ini.
Exco
Selangor Ng Sze Han berkata ia adalah "keputusan menang-menang" kerana
konsert itu akan tamat sebelum hadirin mula berkumpul di Masjid Sultan
Salahuddin Abdul Aziz - yang terletak berdekatan stadium - untuk bacaan
doa.
Katanya, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah juga akan hadir ke acara itu.
"Sebaik
saja konsert tamat (pada pukul tiga petang), hadirin konsert akan
beredar tanpa kesesakan trafik," katanya seperti dipetik Sinchew Daily.
Katanya, tiada pihak yang "ditekan" kerana konsert itu masih berlangsung.
Setakat ini Soul9s Production belum memberi maklum balas terhadap permintaan untuk mengulas perkara itu.
Chen, 60, telah mengeluarkan 25 album. Dia juga diharamkan di China.
Setiausaha MCA Selangor Ng Chok Sin berkata perubahan waktu konsert Chen adalah bukti Islamisasi oleh kerajaan Selangor.
"Adakah
ini akan menjadi duluan kepada acara bukan Islam yang lain? Dasar
seumpama ini bertentangan dengan dakwaan Selangor sebagai negeri maju,"
katanya lagi.
Selain kesukaran mendapatkan penaja, Erma Fatima meluahkan
kekecewaan apabila tiada wakil kerajaan menunjukkan minat untuk
menyaksikan naskhah terbaru arahannya, Pawana Isabella.
Pengarah
dan pelakon itu berkata, mungkin tema mengenai perjuangan bangsa Melayu
yang cuba diketengahkannya dirasakan pihak pemerintah sudah tidak
penting untuk dihayati bersama-sama.
“Kami ada jemput agensi
kerajaan, tapi tak ada yang datang setakat ni. Mungkin mereka tak
berminat isu seperti yang saya bawa,” katanya.
Erma ditemui selepas pementasan Pawana Isabella untuk malam di Istana Budaya malam semalam.
Naskhah
yang turut mendapat sentuhan arahan Naque Ariffin itu memulakan
pementasannya semalam dan dijadual menamatkan persembahannya 31 Ogos
ini.
Selain Erma, antara barisan pelakon yang menjayakan Pawana Isabella ialah, Syafiq Kyle, Janna Nick, Johan Raja Lawak, Azar Azmi dan Jay Iswazir.
Diminta
merungkai spekulasi mengenai 'semangat' dibawa teater berkenaan, Erma
berkata, ia dipersembahkan bukannya untuk mengutuk orang Melayu.
Bagi Erma, 51, melalui Pawana Isabella, dia sekadar memberi teguran kepada masyarakat Melayu supaya tidak menjadi bangsa yang menunggu untuk disuap sepanjang masa.
Pelakon Pawana Isabella bersama Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani (tengah).
“Bukan
mengutuk tapi menegur. Kita tak boleh sanggah realiti mengenai orang
Melayu. Dan kisah ni bukan untuk disaksikan Melayu saja, tapi juga
bangsa lain.
“Saya anggap ni sebagai hadiah untuk anak-anak, waris dan bangsa yang harus kenal diri dan siapa tuan di Tanah Melayu.
“Kalau kenal sejarah, mereka akan tahu tanggungjawab untuk pertahankan ketuanan Melayu, itu amat penting,” katanya.
Sementara
itu, Erma turut menyampaikan hasratnya agar Menteri Belia dan Sukan,
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dapat meluangkan masa hadir bagi
menyokong pementasan Pawana Isabella.
“Sebagai pemimpin belia, semoga terbuka hati Syed Saddiq untuk bawa anak muda menonton teater ni.
"Secara tak langsung ia menyokong orang seni dan pada masa sama memahami apa cuba disampaikan,” katanya.
WAWANCARA | Menjadi satu
kebanggaan dan kepuasan buat komposer terkemuka, Ahmad Nawab, apabila
dirinya dipilih untuk menyumbangkan karya sempena kempen mengalakkan
pelancongan datang ke negara ini pada 1992.
Hasil kreativiti beliau, maka lahirlah lagu yang diulang-ulang sepanjang masa kempen berkenaan, iaitu Malaysia Truly Asia.
Tidak
cukup dengan itu lagu berkenaan dirakam dalam 17 bahasa berbeza bagi
mempromosikan Malaysia sebagai destinasi percutian terunggul.
Kata Ahmad, detik itu boleh dianggap antara pencapaian tertinggi beliau dalam kerjaya sebagai anak seni.
Namun, kebanggaan itu, menurutnya, tidak bertahan lama apabila kini lagu itu tidak lagi berkumandang di radio atau televisyen.
“Yang hanya bersisa didengari sekarang cuma bahagian ekornya: Malaysia Truly Asia.... saja," katanya.
Kenyataan itu dibuat kepada Malaysiakini ketika negara berada di ambang satu lagi kitaran kempen tahun melawat Malaysia.
Hati jadi tawar
"Saya kecewa, tak patut buat begitu. Itu lagu anak Melayu pertama dirakam di luar negara.
“Semasa
merakamkan lagu tersebut, orang luar berkata mereka tak pernah pergi
Malaysia, tapi sebaik dengar saja lagu ni, mereka diibarat sudah sampai
ke sini,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Gombak baru-baru ini.
Untuk rekod, lagu Malaysia Truly Asia
- yang dinyanyikan Khatijah Ibrahim - dirakam antaranya dalam bahasa
Korea, Jepun, Rusia, Itali, Arab, Turki, Perancis, Jerman, China dan
Sepanyol.
Menambah kecewa, Ahmad - atau nama penuhnya Ahmad Khan Nawab Khan - mendakwa lagu Malaysia Truly Asia disisihkan akibat dipolitikkan pihak tertentu.
Seniman
negara yang kini berusia 87 tahun itu berkata, faktor sedemikian juga
membuatkan hatinya kian tawar untuk menggubah lagu.
“Sekarang saya
kurang menggubah lagu. Faktor ini timbul mengikut keadaan perkembangan
muzik tempatan. Antaranya disebabkan senario dunia seni tanah air
bercampur politik.
“Yang saya nampak, sesuatu lagu akan masuk tong
sampah apabila kerajaan bertukar pentadbiran. Sebenarnya ada lagu tak
ada kena-mengena dengan politik sebab ia dihasilkan untuk rakyat.
“Sayang terbuang begitu saja, lainlah kalau lagu tu tak dapat sambutan,” katanya.
Bagaimanapun,
anak kelahiran Pulau Pinang itu berkata, beliau tidak berminat untuk
mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak yang ‘merosakkan’ karya
ciptaannya itu.
Mengenangkan seniman sehebat Allahyarham P Ramlee
pun boleh dilupakan sesetengah orang, ada sebab untuk Ahmad merisaukan
nasibnya pada masa kini dan akan datang.
“Sedangkan, P Ramlee pun orang tak ingat, tak peduli, macam mana saya nak cerita pasal diri saya?” katanya.
Polis tahan 88 pengunjung dipercayai sewa bilik harga RM280 sejam
KUALA LUMPUR–
Seramai 88 pengunjung yang menggunakan sebuah bilik pusat hiburan
keluarga di sebuah pasar raya di Puchong bagi menjalankan aktiviti dadah
sambil berhibur ditahan lewat malam tadi.
Ketua
Polis Daerah Serdang, ACP Ismadi Borhan berkata, kesemua mereka terdiri
daripada rakyat tempatan dan warganegara asing dipercayai menyewa bilik
berkenaan dengan kadar RM280 sejam secara beramai-ramai untuk kegiatan
tersebut.
“Dalam
serbuan itu, polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Serdang
telah menahan empat lelaki tempatan, 55 lelaki serta 29 perempuan warga
Indonesia dan semasa serbuan mereka didapati berada dalam keadaan
khayal.
“Seramai 59 daripada
mereka didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri. Aktiviti ini
bagaimanapun dipercayai tidak didalangi pihak premis,” katanya dalam
sidang media selepas operasi berkenaan.
Menurut
Ismadi, operasi yang dijalankan sehingga lewat malam itu berjaya
menahan kesemua individu berumur lingkungan antara 18 hingga 50 tahun
serta kebanyakannya didapati bekerja di sektor buruh dan perkilangan.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas dua peket ketamin dan 11 biji pil ekstasi.
Kesemua individu berkenaan disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, katanya.– Bernama
Al
Jafree Yusof, pengasas Komuniti Filem Titiwangsa berkata, perlu juga
ada penilaian dan pemantauan ke atas proses pembikinan filem. (Gambar
Facebook)
PETALING JAYA: Seorang pengkarya filem tampil mempersoal tindakan
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) selepas agensi itu
mencadangkan modul Skim Wajib Tayang yang didakwa dapat mengatasi
masalah filem tidak laku.
Pengarah filem, Al Jafree Yusof ketika dihubungi FMT berkata, Finas
seolah-olah tidak meneliti dan memikirkan cadangan tersebut secara
mendalam kerana beliau menurutnya ia adalah idea yang tidak relevan.
Jelasnya, langkah pertama yang perlu dilakukan oleh agensi itu ialah
mewujudkan mekanisme bagi menilai filem yang baik dan teruk kualitinya.
Katanya, ini kerana Finas tidak boleh menghalang mana-mana
filem, walaupun yang “teruk”, untuk masuk ditayangkan di panggung
wayang.
“Saya ambil contoh filem tak laku seperti filem Bidong, Badang,
bahkan filem Ahmad Idham (ketua pengarah eksekutif Finas) sendiri pun
ditayangkan di panggung.
“Malah ada (filem tak laku) yang dapat dana daripada Finas,” katanya kepada FMT.
Sebelum ini, media melaporkan ketua pegawai eksekutif Finas, Ahmad
Idham Ahmad Nadzri berkata, satu modul Skim Wajib Tayang bertujuan
mengatasi isu filem tidak laku sedang diteliti di peringkat pegawai
undang-undang badan itu.
Ahmad Idham dilaporkan berkata, di Hollywood tidak semua filem
dibenarkan masuk panggung wayang, tetapi di Malaysia, semua filem
dibenarkan ditayangkan di panggung.
Mengulas lanjut, Jafree yang juga pengasas Komuniti Filem Titiwangsa
(Komfit) berkata, langkah ke-2 yang perlu dibuat ialah membuat penilaian
dan pemantauan ke atas proses pembikinan filem.
“Contohnya buat penilaian masa skrip ditulis. Tentukan sama ada skrip itu bagus ataupun tidak.
“Bukan dah ditanyangkan (di panggung) baru nak cakap filem itu tidak bagus dan tak laku,” katanya.
Jafrer turut mempersoalkan Ahdmad Idham dan pengerusi Finas, Gerald
Hans Isaac mengenai hala tuju agensi yang menjaga industri perfileman
negara itu.
Beliau berkata, apakah dasar yang akan diwujudkan untuk memberi faedah kepada industri.
Tambahnya lagi, beliau turut mempersoalkan isi kandungan 15 manifesto Finas yang enggan diumumkan oleh Hans Isaac sebelum ini.
“Ini tidak patut, apa-apa rancangan kerja perlu dibincangkan. Bukan diamkan (tidak umum) dan terus nak laksanakan.”