Jumaat, 1 September 2017

Kes pembunuhan polis Subang: Lelaki ditahan dalam pesawat

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
SEPANG: Polis menahan seorang lelaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi membantu siasatan kes pembunuhan Lans Koperal Valentino Mesa yang ditetak dan ditembak ketika bertugas di Balai Polis Pinggiran USJ, awal pagi semalam.
 
lelaki berusia 35 tahun itu ditahan ketika berada dalam pesawat yang bersedia untuk berlepas ke Sibu, Sarawak dari Kuala Lumpur, kira-kira jam 7.40 malam tadi, lapor akhbar Berita Harian.
 
Akhbar itu memetik sumber sebagai berkata lelaki yang berasal dari Sarawak itu terus dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Subang untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.
 
Ketua Polis Selangor Mazlan Mansor berkata mayat Valentino, 29, yang berasal dari Sarawak ditemui oleh anggota Unit Peronda Polis (MPV) yang balik ke balai selepas membuat rondaan, dalam keadaan tertiarap dengan lampu ditutup kira-kira 3.25 pagi tadi.
 
Mazlan berkata mangsa yang berkhidmat dengan PDRM sejak tujuh tahun lalu sudah berkahwin dan tidak mempunyai anak.
 
Siasatan awal mendapati kira-kira 2.40 pagi tadi, saksi awam yang berada di kawasan berdekatan terdengar bunyi letupan namun menyangka ia bunyi mercun sambutan malam kemerdekaan.
 
Beliau berkata siasatan mendapati pistol mangsa hilang dipercayai dilarikan pelaku jenayah.
 
Mayat Valentino juga diterbangkan ke Lapangan Terbang Sibu menggunakan pesawat Malaysia Airlines pada 7.45 malam tadi sebelum dibawa ke kampungnya di Lubuk Besar, Sarikei.
 
 

Tiada ulasan: