KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan tegas degan pendirian untuk mengharamkan
kesenian makyung dan tidak berhasrat untuk menarik balik pengharamannya
biarpun digesa untuk menghentikan sekatan terhadap persembahannya.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata,
ketetapan mengharamkan kebudayaan tradisional itu telah dilakukan sejak
zaman pemerintahan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat lagi dan ia masih
diteruskan sehingga hari ini.
“Kita tetap mengharamkan makyung sebab ini adalah isu berkaitan dengan
agama. Mana-mana kesenian yang kita haramkan selama ini pun kita tidak
berhasrat untuk tarik balik,” katanya dipetik Sinar Harian.
Baru-baru ini Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa supaya
Kelantan menamatkan pengharaman terhadap persembahan kesenian tertua
itu, termasuk sekatan terhadap seni lain.
Makyung adalah salah satu persembahan seni tradisi tertua Kelantan dan
diiktiraf sebagai warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik
dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (Unesco).
Mengulas lanjut gesaan itu, Mohd Amar meminta semua pihak menghormati
pendirian pentadbiran Kelantan, Membangun Bersama Islam, dan semestinya
telah mengambil kira secara menyeluruh dalam sesuatu perkara sebelum
dikuatkuasakan.
“Tolong hormati kita. Kita tidak menghalang persembahan ini diadakan,
tetapi bukan di Kelantan. Kalau sesiapa nak anjurkan tarian ini di
tempat lain dipersilakan, mereka boleh buat,” katanya.
Laporan PBB juga menyebut, persembahan makyung yang kaya dengan
tradisinya itu perlu dihargai dan rakyat harus menikmati persembahannya.
Menjelaskan perkara itu, Mohd Amar berkata, rakyat sudah memahami garis
panduan yang telah ditetapkan oleh kerajaan PAS Kelantan setelah sejak
sekian lama mentadbir negeri berkenaan.
Persembahan tradisional itu dilarang dipertontonkan di negeri ini
kerana ia mengandungi unsur-unsur khurafat mengikut Enakmen Kawalan
Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan tahun 1998.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan