Ahad, 24 September 2017

Empat pendaki diugut rogol sebelum disamun

rogol
Gambar hiasan.
 
 
BESUT - Empat pendaki wanita berdepan detik menakutkan apabila mereka diugut akan dibunuh dan dirogol sebelum disamun dua lelaki di puncak Bukit Keluang, di sini petang semalam.

Dalam kejadian kira -kira jam 2.30 petang  itu, seorang suri rumah berusia 55 tahun dari Pasir Mas, Kelantan bersama seorang anak perempuannya berusia 31 dan dua rakan perempuan anaknya berusia 24 dan 39 tahun disamun lelaki bersenjata pisau dan kayu.
 
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, mangsa mendaki melalui jalan belakang Bukit Keluang dan sebaik sampai di puncak bukit tiba-tiba muncul dua lelaki menutup muka dengan kain.
 
Menurutnya, kedua -dua suspek yang memakai seluar pendek tiga suku dan baju tanpa lengan yang masing masing bersenjatakan sebilah pisau dan kayu telah  mengacukan kepada mangsa.

“Suspek telah mengugut akan merogol dan membunuh jika mangsa tidak menyerahkan barang berharga milik mangsa.

“Kerana ketakutan mangsa telah menyerahkan tiga utas rantai tangan emas, seutas rantai leher emas, sebentuk cincin berlian emas, wang tunai RM200 dan tiga unit telefon bimbit,” katanya.

Mohd Zamri berkata, selepas merampas barangan mangsa, suspek telah melarikan diri turun dari puncak Bukit Keluang ke arah pantai peranginan pantai Bukit Keluang.

Menurutnya, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan kemudian membuat laporan di Balai Polis Kampung Raja untuk tindakan lanjut.

“Polis memandang serius kejadian itu kerana ia berlaku di tempat rekreasi yang sering menjadi tumpuan orang ramai khususnya pada hujung minggu dan musim cuti.

“Sehubungan itu polis menasihatkan pendaki terutama di kalangan wanita agar berhati-hati dan sebaiknya ditemani kenalan lelaki serta naik  secara berkumpulan,” katanya.

Mohd Zamri berkata, polis juga akan melakukan rondaan dan pemantauan di kawasan tersebut selepas ini bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.

Beliau berkata, usaha mengesan suspek sedang giat dilakukan.

Tiada ulasan: