Selangor mencatatkan kadar kelahiran anak luar nikah tertinggi setiap tahun iaitu suatu jumlah yang amat membimbangkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Yaakob Sapari berkata, sejak 2008 sehingga akhir 2015, perangkaan menunjukkan kira-kira 4,000 kelahiran setahun, dengan tahun 2013 mencecah sebanyak 4,900 kelahiran.
Katanya, jumlah itu adalah suatu yang membimbangkan dan kerajaan negeri perlu mengambil langkah tertentu untuk menanganinya.
Menurut beliau, selain kadar kelahiran anak luar nikah yang tinggi, jumlah ibu tunggal di Selangor juga mencatatkan jumlah membimbangkan.
"Ibu tunggal ini berusia awal 20-an hingga 50-an. Mereka bergelar ibu tunggal atas faktor bercerai, ditinggalkan dan kematian suami.
"Saya minta kerajaan negeri menerusi anggota Exco berkenaan memikirkan suatu inisiatif segera bagi membela nasib mereka ini," katanya pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Ketiga Belas di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, hari ini.
Menurut Yaakob, golongan itu juga harus diserapkan melalui program atau skim khas sebagai langkah dan usaha kerajaan negeri memberi perlindungan kepada mereka.
Dalam perkembangan berkaitan, ADUN Dengkil, Shahrum Mohd Shariff membidas Yaakob yang hanya bercakap untuk membela nasib ibu tunggal, sedangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjanjikan bantuan kepada golongan itu sejak 2008.
"Sejak tahun 2008 sehingga hari ini, mana skim bantuan yang dijanjikan kerajaan negeri untuk membela nasib ibu tunggal?
"Lapan tahun golongan ini tidak menerima apa-apa bantuan di bawah skim yang diperkenalkan kerajaan negeri di awal pemerintahannya dulu," ujar beliau. - MalaysiaGazette
No comments:
Post a Comment