Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: Penyertaan Datuk Husam Musa ke dalam Amanah, yang dijangka
diumumkan malam ini, adalah jawapan kepada 'kekacauan' yang ditimbulkan
pemimpin itu di dalam PAS selama ini.
Demikian reaksi Naib Presiden PAS, Idris Ahmad apabila diajukan tindakan Husam menyertai parti serpihan itu.
"Itulah jawapannya.
"Jawapan kepada masalah selama ini (beliau) nak (sertai) Amanah," katanya kepada Antarapos, hari ini.
Husam dilaporkan bakal membuat satu pengumuman penting berkenaan karier
politiknya dalam satu acara yang dianjurkan Amanah Putrajaya, malam
ini.
Malah dalam satu kenyataannya semalam, ADUN Salor itu mengakui akan menyarung 'jersi baru' bersama parti politik pilihannya.
Bekas exco Kelantan itu juga mendakwa sejak hampir empat bulan beliau
dipecat daripada PAS, tidak ada sebarang petunjuk bahawa beliau akan
diterima lagi oleh parti.
Lebih lanjut, PAS, menurut Idris tidak terkesan dengan tindakan Husam memandangkan parti itu menerima ribuan penyertaan baru.
"Terpulang pada beliau untuk sertai, kita tak boleh halang sesiapa," kata Idris.
Penyertaan Husam dalam Amanah bukanlah satu perkara yang mengejutkan
kerana umum mengetahui tindakan beliau sebelum ini lebih banyak
menyokong parti itu.
Malah beliau pernah berkempen secara terbuka untuk parti itu semasa
Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar Jun lalu dan bukannya untuk PAS.
Husam, pada Mei lalu dipecat dari PAS kerana lantang mengkritik dan
mencabar parti dan pemimpinnya secara terbuka berkaitan beberapa isu
termasuk hudud.
Malah Husam turut mendakwa Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pernah
merancang untuk bekerjasama dengan Umno bagi menubuhkan kerajaan
perpaduan di Selangor.
No comments:
Post a Comment