Bernama
Penyertaan bekas Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa dalam Parti
Amanah Negara (Amanah) tidak menjejaskan PAS, kata Timbalan Mursyidul Am
PAS Datuk Ahmad Yakob.
Beliau berkata masih terlalu awal untuk menjangka kekuatan Amanah
terutama di Kelantan selepas penyertaan Husam dalam parti itu malam
tadi.
"Nak tahu kuat ke, tak kuat ke, tunggu pilihan raya (umum) nantilah,"
katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Kebangsaan 2016 di Stadium Mini Majlis Daerah Ketereh di Kota Bharu, hari ini.
Husam, yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor
mengumumkan menyertai Amanah pada satu majlis makan malam di Cyberjaya
malam tadi.
Beliau dipecat keanggotaannya dalam PAS April lalu, susulan lantang
mengkritik presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung dakwaan wujud kerjasama PAS-UMNO.
Sementara itu, Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata
parti itu sedia berdepan dengan mana-mana parti termasuklah Amanah pada
pilihan raya umum akan datang.
Beliau berkata keputusan Husam untuk menyertai Amanah adalah pilihannya sendiri selepas dibuang daripada PAS sebelum ini.-Bernama
No comments:
Post a Comment