PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini Isnin memutuskan bahawa perintah menteri dalam negeri untuk mengharamkan penggunaan kemeja-T kuning Bersih 4 dan risalah berkaitan perhimpunan Bersih adalah tidak munasabah.
Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh, yang mengetuai panel tiga anggota, mengeluarkan perintah certiorari untuk membatalkan perintah menteri berkenaan.
Panel, yang turut dianggotai Hakim-hakim Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Asmabi Mohamad membenarkan rayuan dikemukakan oleh pengerusi Bersih 4 Maria Chin Abdullah dan dua yang lain untuk mengubah perintah Mahkamah Tinggi itu.
Pada 19 Februari tahun ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman dikemukakan Maria, Masjaliza Hamzah dan Fadiah Nadwa Fikri bagi membatalkan perintah itu.
Hakim itu berkata, sebab-sebab untuk pengharaman diberikan menteri dalam affidavitnya menyentuh acara yang belum berlaku.
Hakim berkata mereka bercadang menulis satu penghakiman oleh kerana isu-isu dalam kes berkenaan adalah penting.
Pada 27 Ogos, tahun lepas, kementerian berkenaan mengeluarkan perintah mengharamkan kemeja-T Bersih 4 dan penerbitan berkaitan perhimpunan Bersih 4.
Perayu memfail semakan kehakiman bagi mencabar perintah itu, dengan menyebut kementerian dalam negeri dan kerajaan sebagai responden.
Di luar mahkamah, New Sin Yew, seorang daripada peguam yang mewakili perayu berkata perintah kementerian itu tidak sah berikutan keputusan mahkamah itu.
Beliau berkata keputusan itu mempunyai implikasi yang luas ke atas rakyat Malaysia yang memiliki kemeja-T dan risalah berkenaan.
Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan mewakili menteri dan kerajaan. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment