MALAYSIAKINI
Diraikan dengan penuh gemilang jaguh badminton negara, Datuk Lee
Chong Wei ternyata menyediakan tempat istimewa di hatinya untuk
seseorang yang dekat dengannya - Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Sebentar tadi Chong Wei berkongsi kegembiraannya memenangi pingat
perak Rio de Janeiro bersama bekas penaung Persatuan Badminton Malaysia
(BAM) itu.
Melalui gambar yang dikongsi anak Dr Siti Hasmah - Marina Mahathir,
di Facebook, isteri bekas perdana menteri Malaysia Tun Dr Mahathir
Mohamad itu menerima kehadiran Chong Wei untuk meraikan kejayaan
tersebut.
Sebelum ini Chong Wei, berjaya menumpaskan musuh tradisinya Lin Dan
dari China di peringkat separuh akhir badminton perseorangan lelaki.
Sayangnya, pemain kelahiran Pulau Pinang itu terpaksa akur apabila
tewas kepada seorang lagi jaguh China iaitu Chen Long pada perlawanan
akhir.
Satu daripada gambar dikongsi Marina menunjukkan Siti Hasmah
mengalungkan pingat dimenangi Chong Wei itu di lehernya sambil mereka
berdua mengangkat ibu jari.
Sekeping lagi gambar menunjukkan Chong Wei menerima hadiah senaskhaj
buku berbalut kemas daripada Hasmah sambil mereka kelihatan sedang
berbual.
Semakan Malaysiakini mendapati perkongsian Marina itu
disukai lebih 49,000 pengguna Facebook dengan lebih 3,500 kali
perkongsian dilakukan selepas kira-kira satu jam dimuat naik.
No comments:
Post a Comment