Veteran UMNO Malaysia menasihati Mufti Perlis, Datuk Mohd. Asri Zainal Abidin supaya menyertai politik jika terus mengkritik kepimpinan Perdana Menteri.
Setiausaha Veteran UMNO Malaysia, Datuk Mustapha Yaakub berkata perlakuan mufti itu telah keterlaluan dan tidak boleh diterima lagi.
"Campur tangannya secara terbuka dalam politik dan pentadbiran kerajaan sudah berlebihan dan menjolok mata. Sebagai seorang mufti, beliau sepatutnya tahu bidang tugas dan tanggungjawabnya. Beliau hanya seorang mufti bagi satu negeri yang kecil. Tidak salah dia menegur kepimpinan dengan cara berhemah sesuai dengan jawatannya tetapi bukan secara berterusan campur tangan sehingga melebihi batas kemuliaan institusi mufti itu," ujarnya dalam satu kenyataan petang tadi.
Malah, Mustapha yang juga Timbalan Presiden Persatuan Ahli Sunnah Wal Jamaah memberitahu, sekiranya Mohd. Asri berminat untuk berpolitik, Veteran UMNO mencabar beliau supaya meletak jawatan sebagai mufti Perlis dan bertanding dalam PRU14 nanti.
"Mohd. Asri boleh memilih untuk bertanding atas tiket pembangkang yang dia suka," tegasnya.
Veteran UMNO juga mendakwa Mohd. Asri sebagai pemimpin Wahabi yang berusaha keras untuk mengembangkan fahaman itu di negara ini.
Malah beliau mendakwa Mohd. Asri dilindungi oleh seorang menteri pusat yang banyak menggunakan kemudahan kerajaan untuk mempromosi dakyah Wahabi.
"Veteran juga kesal kerana menteri yang bertanggungjawab dalam hal ugama tidak mampu berbuat apa-apa untuk membendung gerakan 'mengwahabikan' Malaysia. Malah dalam banyak hal tugas menteri itu diambil oleh menteri lain," ujarnya tanpa menamakan menteri terbabit.
Justeru, Veteran UMNO mendesak kerajaan negeri Perlis supaya mengkaji semula perlantikan Mohd. Asri sebagai mufti negeri itu atau memberi kata dua samaada menjadi mufti atau berpolitik.
Veteran UMNO bimbang pengaruh Wahabi sudah mula bertapak dalam UMNO dan kerajaan. Sekiranya ini tidak dibendung, maka Malaysia akan berdepan dengan masalah aqidah yang boleh membawa kepada perpecahan ummah dan mengingatkan kerajaan supaya berhati-hati dengan fahaman Wahabi dan jangan mudah terpesona dengan kelebihan dan kepura-puraan tokohnya yang boleh menjelma dalam rupa yang berbeza.
"Veteran ingin memberi ingatan kepada kerajaan bahawa Wahabi ada didalam setiap jabatan kerajaan dan mereka sedang berusaha keras untuk 'mengwahabikan' negara ini. Veteran ingin mengingatkan pucuk pimpinan UMNO bahawa tokoh-tokoh Wahabi telah dipilih sebagai pemimpin Pemuda dan MT.
"Mereka diberi tempat kerana perwakilan terpesona dengan kebolehan mereka sebagai tokoh ugama. Pucuk pimpinan UMNO juga terpengaruh dengan mereka yang dilihat sebagai tokoh ugama yang berpotensi," katanya.
Wahabi telah berjaya mempengaruhi media cetak dan media elektronik disamping penggunaan media sosial yang berkesan selain mendapat dana untuk mengembang lebar kegiatan mereka termasuk tajaan untuk mengerjakan umrah.
"Asri adalah penggerak utama Wahabi diMalaysia dan tindak tanduknya selama ini jelas membuktikan bahawa Asri anti kerajaan yang ada sekarang khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Naib Razak," katanya.--MalaysiaGazette
No comments:
Post a Comment