Sunday, August 28, 2016

Penjawat awam rasuah musuh sebenar negara

rasuah
Gambar hiasan


SHAH ALAM - Penjawat awam yang menjadikan amalan rasuah sebagai pemenuh kocek adalah musuh sebenar negara yang harus ditentang.

Mereka ini adalah individu yang sudah dipertanggungjawabkan untuk menguruskan segala urusan di dalam negara namun bertindak seperti musuh dalam selimut.

Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Halim Ishak berkata, gejala rasuah seharusnya dijadikan musuh oleh penjawat awam dan bukannya menjadikan aktiviti negatif itu sebagai teman rapat.

Mengambil contoh tiga penjawat awam, dua daripadanya bergelar datuk dan datuk seri yang ditahan baru-baru ini, Halim berkata, apa yang berlaku itu menunjukkan mereka merupakan individu yang tewas dengan godaan duniawi.

"Kehidupan mewah perasuah dan simpanan yang banyak dalam akaun bank masing-masing yang tidak masuk akal sama sekali itu akhirnya memakan diri sendiri seperti kata pepatah Melayu 'sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh juga ke tanah’.

"Inilah akibatnya kalau nafsu serakah telah menguasai diri, maka terjerumus dengan gejala rasuah yang akibatnya meringkuk dalam penjara dengan penuh kekesalan dan terpaksa menanggung malu seluruh keluarga dan gelaplah masa hadapan sehingga ke akhir hayat," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Katanya, disebabkan amalan korup itu, kerajaan dan rakyat menanggung rugi berbilion ringgit akibat sikap tidak bertanggungjawab serta rasa tamak segelintir kakitangan kerajaan yang terbabit dengan gejala itu.

"Mereka yang melakukan perbuatan rasuah ini adalah pengkhianat negara yang perlu dikenakan hukuman seberat-beratnya kerana dengan perbuatan terkutuk itu mampu merosakkan negara dan secara tidak langsung membuatkan rakyat menjadi derita," katanya.

Halim berkata, kegiatan membanteras rasuah ini bukan terletak pada bahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia semata-mata tetapi masyarakat juga perlu memainkan peranan tersendiri.

Katanya, masyarakatlah yang mampu memastikan gejala rasuah ini daripada tidak terus berlaku.

"Adalah menjadi harapan MCCF dan setiap warganegara Malaysia yang mahukan negara ini makmur dan aman sentosa, supaya SPRM membersihkan semua gejala rasuah terutama sekali melibatkan agensi kerajaan kerana penyakit yang paling ditakuti oleh rakyat selain daripada penyakit denggi ialah 'penyakit rasuah'.

"Dalam hal ini, 31.7 juta rakyat Malaysia perlu bersama-sama SPRM memerangi perbuatan jijik rasuah itu supaya kegiatan tersebut akhirnya dapat dibendung sekali gus meletakkan Malaysia pada kedudukan baik dalam senarai laporan CPI," katanya.


No comments: