JERANTUT: Tindakan pantas seorang lelaki menghubungi jirannya selepas
menyedari sesuatu yang mencurigakan berlaku di rumah jirannya itu
membawa kepada penahanan dua penjenayah di Taman Teratai di sini
semalam.
Hasil maklumat lelaki berkenaan, dua lelaki berusia lingkungan 40-an
berjaya dicekup orang ramai ketika cuba melarikan diri selepas memecah
masuk rumah seorang pekebun, Tey Kim Kin di perumahan berkenaan manakala
seorang lagi rakan mereka melarikan diri.
Ketua Polis daerah, Superintenden Azid Ismail berkata, kejadian berlaku
ketika Kim Nin berada di kebunnya yang terletak tidak jauh dari taman
perumahan tersebut.
“Kira-kira pukul 4 petang, seorang jiran Kim Kin menghubunginya dan
memberitahu rumahnya dipecah masuk. Dia bergegas pulang dan mendapati
tingkap di bahagian tepi rumahnya diumpil.
“Mangsa kemudian ternampak seorang lelaki keluar menerusi tingkap
berkenaan dan cuba melarikan diri bersama dua lagi rakannya dengan
sebuah kereta Volkswagen,” katanya di sini hari ini.
Menurut Azid, berikutan itu, Kim Kin dan jirannya mengejar suspek
sebelum kereta mereka terbabas kira-kira 500 meter dari rumah mangsa.
Katanya, orang ramai yang berada di lokasi kejadian menahan dua suspek
manakala seorang lagi melarikan diri dan usaha memburunya sedang giat
dijalankan.
Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang
memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 14 tahun jika sabit
kesalahan.
“Siasatan mendapati kereta Volkswagen yang dinaiki suspek merupakan
kenderaan yang dilaporkan hilang di Kempas, Johor baru-baru ini.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini diminta menghubungi polis bagi membantu siasatan,” katanya.
No comments:
Post a Comment