SALMIYAH HARUN
KUALA LUMPUR:
PAS Pulau Pinang sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan
berlaku pilihan raya negeri (PRN) atau sebaliknya dengan segenap
kekuatan yang ada.
Menurut Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Mohd
Fauzi Yusof, walaupun pilihan raya negeri tidak berlaku kerana DAP
gagal mendapat persetujuan sekutunya PKR, namun PAS tidak memandang
ringan terhadap usaha DAP dan sekutunya itu yang dilihat masih lagi
berminat ke arah itu.
"Apa yang kita perhatikan daripada isu
pilihan raya negeri yang berlaku ialah kegelabahan Lim Guan Eng dan
pemimpin DAP yang terlebih dahulu menghebahkan akan membubarkan Dewan
Undangan Negeri bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan segera
sehingga membelakangkan sekutunya di dalam Pakatan Harapan," katanya
kepada Harakahdaily.
Tegas beliau ketika dihubungi, sikap tidak
setiakawan Lim Guan Eng dan DAP telah dialami oleh PAS sebelum ini,
akhirnya kini dirasai sendiri pula oleh sekutunya, PKR.
Bagi PAS
Pulau Pinang, kata beliau gerak kerja pilihan raya perlu dipertingkatkan
lebih-lebih lagi komitmen ahli-ahli PAS bagi memenuhi pra-syarat
kemenangan itu nanti.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng
tidak akan meneruskan rancangannya untuk mengadakan pilihan raya
mengejut di negeri itu kerana rakan sekutunya PKR tidak bersetuju dengan
cadangannya tersebut.
Sebelum itu, PKR menyatakan rasa belum cukup yakin dengan cadangan DAP untuk mengadakan pilihan raya negeri di Pulau Pinang.
Presiden
PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, walaupun keputusan
itu diambil sebulat suara oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP), mereka akan
tetap meneruskan perbincangan mengenainya dengan parti lain dalam
Pakatan Harapan. - HARAKAHDAILY
No comments:
Post a Comment