KOTA KINABALU:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun berkata
mulai Julai tahun ini Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA)
membuka peluang kepada pekerja kontrak kerajaan yang telah berkhidmat
sekurang-kurangnya 15 tahun untuk diserap ke dalam perkhidmatan tetap.
“Pada masa ini kita masih dalam proses pemilihan dan terdapat beberapa aspek yang akan dilihat, khususnya dari segi disiplin dan kesihatan pegawai kontrak berkenaan.
“Penyerapan ke jawatan tetap itu terbuka
untuk kakitangan gred rendah hingga ke gred profesional bagi semua
jawatan dalam kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan
Karnival Kerjaya dan Outreach SPA di Kompleks Pentadbiran Kerajaan
Persekutuan Sabah, di sini hari ini.
Sementara itu, Entulu berkata SPA telah
menerima sebanyak 1,385,460 permohonan di seluruh negara dalam tempoh
Januari sehingga Julai tahun ini.
“Daripada jumlah itu seramai 77,349
pemohon telah dipanggil temu duga dan jumlah yang hadir pada temu duga
hanya seramai 44,175 pemohon. Setakat ini jumlah calon yang telah
dilantik dan menerima surat tawaran dalam pelbagai sektor kerajaan
adalah seramai 9,506 orang,” katanya.
Beliau berkata daripada 1,385,460
pemohon, sebanyak 168,628 adalah pemohon dari Sabah dan daripada jumlah
itu sebanyak 4,939 telah dipanggil temu duga dan 746 calon dilantik ke
pelbagai jabatan.
Mengulas mengenai Karnival Kerjaya dan
Outreach SPA itu, Entulu berkata ia akan memberi manfaat kepada pemohon
pekerjaan di Sabah bagi mempersiapkan diri untuk memasuki alam pekerjaan
dalam pelbagai sektor.
“Pada karnival ini pegawai SPA akan
memberikan taklimat kerjaya beserta tips untuk menghadiri temu duga dan
peperiksaan yang dikendalikan oleh SPA.
“Ini penting kerana antara faktor utama
yang menyebabkan seseorang graduan tidak mendapat tawaran pekerjaan
walaupun mempunyai akademik yang cemerlang ialah disebabkan tiada
keyakinan, penampilan diri tidak menarik semasa temu duga atau tidak
menepati ciri-ciri pekerja yang diperlukan,” tambah beliau.
Beliau berkata antara aktiviti utama
yang diadakan pada karnival berkenaan ialah ceramah kerjaya dan panduan
temu duga kepada para pelajar di Sabah serta pemohon pekerjaan dari
pelbagai lapisan masyarakat.
“Selain itu terdapat pelbagai agensi
kerajaan yang lain turut serta bagi mempamerkan fungsi dan peranan
mereka kepada orang awam. Antara agansi berkenaan ialah Jabatan
Imigresen, Jabatan Alam Sekitar Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia
dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia,” katanya.
No comments:
Post a Comment