KOTA BHARU: Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Ahmad Yakob menyambut baik
keputusan DAP untuk tidak mengadakan pilihan raya negeri (PRN) di Pulau
Pinang.
Beliau berkata keputusan untuk mengadakan PRN bukan perkara mudah yang boleh dibuat tanpa penilaian yang sewajarnya.
"Itulah kita dalam hal ini jangan terburu-buru kerana PRN bukan satu
perkara yang boleh kita buat untuk sesuatu tujuan tertentu.
"Lagi pun PRN memerlukan bajet yang besar dan boleh dikatakan akan
menyusahkan rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar
Hadis Nabawi 2016 peringkat kebangsaan di Kompleks Islam Jubli Perak
Sultan Ismail Petra di Kota Bharu, semalam.
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pada Ahad berkata DAP tidak
akan meneruskan cadangannya untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri
Pulau Pinang bagi mengadakan pilihan raya mengejut susulan sekutunya PKR
tidak bersetuju.
PKR pada mesyuarat Majlis Pimpinan Pusatnya (MPP) minggu lalu
memutuskan bahawa parti itu belum yakin dengan cadangan DAP berhubung
pilihan raya berkenaan.
Mesyuarat MPP tersebut membangkitkan beberapa persoalan dasar berkaitan
rasional mengadakan pilihan raya mengejut di negeri berkenaan, termasuk
mengambil kira pandangan masyarakat madani (civil society).
Sebelum ini, DAP berkeras mahu mengadakan PRN selepas Guan Eng terpalit
tuduhan rasuah, apabila cuba menukar status tanah (zon pertanian kepada
zon komersil) dan membeli sebuah banglo di bawah harga pasaran di Jalan
Pinhorn, George Town.
DUN Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi dengan DAP menguasai 19 kerusi, PKR 10, Barisan Nasional (BN) 10 dan PAS 1.
No comments:
Post a Comment