Tuesday, August 2, 2016

Ahli Umno perlu ada mentaliti untuk berjaya - Khairy

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Tiga aspek penting - mentaliti untuk berjaya, keberanian dan kesamaan perlu diterapkan di dalam hati dan minda anggota Umno-Barisan Nasional (BN) bagi memastikan parti itu terus kekal memerintah negara ini buat selama-lamanya.
 
Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata ketiga-tiga aspek itu perlu diberi perhatian bagi menghadapi pelbagai dugaan dan kontroversi melibatkan nama baik negara mahupun presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak.
 
Ujar Khairy, walaupun sokongan terhadap Umno dan BN belum 100 peratus pulih, beliau menyifatkan keyakinan serta mentaliti untuk berjaya itu amat penting bagi mendapatkan mandat daripada rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
 
"Inilah kunci kejayaan kita. Kita perlu ada 'mentaliti untuk berjaya'. Ada kalanya kita sedang melalui masa sukar tetapi kita perlu ada keyakinan diri sekiranya mahu menang dalam PRU14.
 
"Kalau kita sendiri tidak yakin, bagaimanakah orang luar boleh yakin bahawa Umno mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat," katanya ketika berucap pada Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Putrajaya 2016.
 
Dalam pada itu, Khairy berkata anggota Umno juga perlu berani ketika berdepan dengan cabaran beberapa individu yang bukan calang-calang orangnya keluar parti Umno dan menentangnya secara habis-habisan.
 
"Ini adalah cabaran langsung, dan kita tidak boleh leka sebaliknya bangkit untuk berdepan dengan mereka bagi mempertahankan dan meneruskan perjuangan parti. Tidak kira siapakah mereka, kita mesti berani berdepan dengan mereka," katanya.
 
Bagi aspek kesamaan pula, Khairy menekankan warga Umno terus menunjukkan perpaduan dan sentiasa bersama dengan kepimpinan negara walapun isu-isu baharu meletup dengan mengetengah agenda tersirat pihak-pihak tertentu.
 
"Seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan. Siasatan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat seolah-olah berbentuk tuduhan tanpa diiringi bukti dan fakta. Kita berhadapan dengan tahap bias dan prejudis yang tinggi.
 
"Inilah masa kita guna akal dan perlu menunjukkan kebersamaan bersama dan berdiri teguh di belakang Presiden Umno untuk menegakkan kebenaran dan keadilan," katanya.
 
Dalam pada itu, Khairy turut menyentuh beberapa strategi dalam menghadapi PRU14, antaranya mendekati masyarakat bandar agar mereka tidak terpengaruh dengan sentimen-sentimen negatif yang dibawa pihak pembangkang.
 
"Pertarungan hari ini adalah antara servis (perkhidmatan) berlawan sentimen.
 
"Umno sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk Putrajaya tetapi ada kalanya, sentimen yang dimainkan oleh pihak lawan selalunya terpahat dengan mudah di hati dan minda pengundi.
 
"Kita berdepan gelombang tsunami dari bandar ke luar bandar. Oleh itu, kita perlu ada corak perang saraf yang lebih cerdik dan canggih bagi menghadapi perkara-perkara yang kita tidak nampak. Carilah bagaimana untuk atasi sentimen negatif dalam PRU14," katanya.
 
 

No comments: