TAWAU: Kira-kira 50 rumah musnah akibat kebakaran di Kampung Tanjung Batu Laut Tengah, dekat sini, tengah hari tadi.
Dalam kejadian bermula kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, api
dikatakan berpunca dari sebuah rumah sebelum merebak dengan pantas
berikutan keadaan berangin serta kedudukan rumah di perkampungan yang
rapat antara satu sama lain.
Kejadian mengakibatkan sebahagian besar mangsa gagal menyelamatkan harta benda dan barangan berharga.
Dua anggota bomba turut dilaporkan mengalami sesak nafas, dipercayai
berikutan asap tebal sebelum mereka dihantar ke Hospital Tawau untuk
rawatan dan keadaan kedua-duanya dilaporkan stabil.
Tiada penduduk dilaporkan cedera atau membabitkan kehilangan nyawa. Ia
kebakaran besar kedua di daerah ini dalam tempoh lima hari selepas 30
rumah hangus di Kampung Pukat Tanjung Batu Laut, dekat sini,
mengakibatkan lebih 100 penduduk hilang tempat tinggal, Jumaat lalu.
Ketua Zon, Bomba dan Penyelamat Bahagian Tawau, Penguasa Kanan Bomba
Ismaidi Ismail, berkata pihaknya menerima panggilan jam 1.39 tengah hari
sebelum menghantar 35 anggota bersama empat jentera ke lokasi, sambil
dibantu polis dan pasukan bomba sukarela.
"Kebakaran itu membabitkan lebih 50 rumah musnah sama sekali selepas
bergelut dengan kesukaran memadam kebakaran akibat bekalan air terputus.
"Api dapat dikawal sepenuhnya jam 3.48 petang tadi dengan punca
kejadian serta anggaran kerugian masih dalam siasatan," katanya ketika
ditemui di lokasi.
Penduduk, Bunga Manahau, 60, tidak dapat menahan sebak menyaksikan rumahnya musnah dimamah api sekelip mata.
"Kejadian begitu pantas, rumah yang kami duduki lebih 30 tahun musnah
sama sekali. Ini ujian Allah dan sebagai hambanya kami reda walaupun
tinggal sehelai sepinggang," katanya.
No comments:
Post a Comment