Laporan media berhubung keputusan mahkamah memulangkan pasport sementara Datin Seri Rosmah Mansor bagi menemani anak perempuan bersalin di Singapura dikecam teruk warganet republik tersebut.
Portal di Singapura membuat liputan keputusan mahkamah di Malaysia yang mengembalikan pasport kepada Rosmah, malah turut membuat liputan terhadap permohonan suaminya yang juga bekas Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan semula pasportnya untuk tujuan sama.
Portal mothership.sg yang berpengkalan di Singapura menulis laporan berita berhubung hasrat kedua-dua pasangan itu yang mahu ke Singapura untuk menemani anak perempuan mereka, Nooryana Najwa yang dijadual bersalin tidak lama lagi.
Laporan berita media Singapura:
Dalam perkongsian berita yang dikongsi di akaun Facebook mothership, warganet dipercayai pengguna media sosial Singapura mengkritik keras hasrat Rosmah dan Najib, malah tidak kurang juga yang tidak mengalu-alukan kedatangan mereka memandangkan terpalit dengan banyak pertuduhan di mahkamah Malaysia ketika ini.
Pengguna Facebook dengan nama Emerald Emerald menulis: “Its just her excuses. How can she be allowed to travelled while under court cases? That shows how weak the Malaysian law. She dont deserve any VIP privileges anymore isnt it?” (Itu hanya alasan dia. Bagaimana dia boleh dibenarkan berjalan ke luar negara ketika berdepan kes mahkamah? Ini menunjukkan lemahnya undang-undang Malaysia. Dia tidak layak diberikan layanan istimewa VIP lagi sepatutnya?)
Seorang lagi pengguna Facebook dengan nama Eric Lew menulis: “I hope Singapore govt will not grant her special privilege to bypass the 10 day quarantine for all other Malaysians entering Singapore.” (Saya harap kerajaan Singapura tidak memberi layanan istimewa untuk mereka tidak perlu menjalani kuarantin wajib 10 hari sama seperti yang diwajibkan kepada rakyat Malaysia memasuki Singapura)
Sementara itu, pengguna Facebook dengan nama Howard Tan menulis: “Why should SG let her come in?” (Kenapa Singapura benarkan dia masuk ke sini?)
Ruangan komen dalam akaun Facebook Mothership dihujani ratusan komen yang majoritinya melahirkan rasa tidak puas hati dengan kebenaran mahkamah Malaysia yang memulangkan pasport sementara kepada Rosmah dan Najib itu.
Pada 15 Oktober, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberi kebenaran kepada Rosmah untuk mendapatkan kembali pasportnya selepas memberi alasan untuk menemani anak perempuannya bersalin di Singapura.
Hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan yang dibuat oleh peguam bela tertuduh, Datuk Jagjit Singh.
“Pasport pemohon dikembalikan kepadanya pada 15 Oktober 2021 (hari ini), dan mesti dikembalikan (ke mahkamah) sebelum atau sebelum 6 Disember 2021.
“Ini dengan syarat pemohon hanya dibenarkan melakukan perjalanan ke luar negeri ke Singapura, mulai 21 Oktober 2021, dan mesti kembali ke Malaysia pada atau sebelum 21 November 2021,” katanya.
Untuk rekod, perbicaraan kes rasuah Solar melibatkan Rosmah ketika ini masih sedang berlangsung.
Selain itu, Najib yang sudah dijatuhi hukuman dalam kes rasuah dan sedang dibicarakan dalam beberapa kes rasuah lain juga dilaporkan turut membuat permohonan sama untuk mendapatkan pasportnya semula.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan